
KUALA LUMPUR, 5 Mac – Langkah mitigasi strategik diambil susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat bagi melindungi prestasi eksport negara.
- MATRADE gerakkan pejabat perdagangan di Asia Barat untuk sokongan segera dan maklumat pasaran terkini.
- Galakkan kepelbagaian laluan logistik ke pelabuhan alternatif yang lebih stabil seperti Fujairah dan Salalah.
- Mempercepat pemelbagaian pasaran eksport ke Asia Selatan, Amerika Latin, Afrika dan kukuhkan integrasi intra-ASEAN.
Menerusi kenyataan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), tinjauan awal terhadap pengeksport tempatan mendapati, 63.9 peratus syarikat dijangka terkesan oleh konflik berkenaan, terutama akibat kelewatan penghantaran serta peningkatan kos pengangkutan laut dan insurans.
Selain itu, perniagaan turut dijangka mengalami penurunan jualan, pembatalan pesanan dan kenaikan harga bahan mentah, khususnya bahan plastik.
Bagi membantu pengeksport mengurus risiko tersebut, MATRADE menggerakkan rangkaian pejabat perdagangannya di Asia Barat termasuk di Dubai, Jeddah dan Kaherah bagi memberi sokongan segera serta maklumat pasaran terkini.
Agensi itu turut menggalakkan kepelbagaian laluan logistik melalui pelabuhan alternatif yang lebih stabil seperti Fujairah dan Salalah.
Pada masa sama, MATRADE mempercepat usaha mempelbagaikan pasaran eksport ke rantau kurang terjejas seperti Asia Selatan, Amerika Latin, Afrika serta memperkukuh integrasi pasaran intra-ASEAN.
Inisiatif padanan perniagaan digital melalui sesi “Virtual eBizMatch” juga dipertingkat bagi memastikan momentum perdagangan terus kekal meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik.