Cubaan seludup komoditi bernilai lebih RM2 juta gagal

Lori dumper yang dirampas dalam Op Terma / FOTO JKDM SELANGOR

PUTRAJAYA, 5 Mac – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor berjaya menggagalkan cubaan penyeludupan pelbagai komoditi bernilai keseluruhan kira-kira RM2.72 juta termasuk duti dan cukai menerusi beberapa operasi di dua zon pelabuhan berbeza di Pelabuhan Klang.

RINGKASAN BERITA AI
  • JKDM Selangor gagalkan cubaan penyeludupan pelbagai komoditi bernilai kira-kira RM2.72 juta melalui operasi di Pelabuhan Klang.
  • Rampasan termasuk enam panel van diesel dari tiga kontena dalam Op Terma, nilai keseluruhan dianggarkan RM986,700.
  • Op Petasan merampas 2,566 unit dapur gas (nilai kira-kira RM170,923) yang diimport dan tiba pada 5 Januari.
  • JKDM juga rampas tujuh lori dumper bernilai kira-kira RM1.57 juta; semua kes disiasat bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

Pengarah Kastam Negeri Selangor, Mohamad Azhar Ahmad Paharazi berkata kejayaan itu hasil pemeriksaan serta siasatan yang dijalankan pihaknya bagi membanteras kegiatan penyeludupan di kawasan pelabuhan.

Dalam kes pertama, JKDM menemukan enam panel van diesel hasil pemeriksaan terhadap tiga kontena bersaiz 40 kaki menerusi Op Terma di Zon Bebas Pelabuhan Barat.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM986,700, dengan nilai dagangan sekitar RM690,000 manakala duti dan cukai terlibat dianggarkan RM296,700,” katanya dalam sidang media hari ini.

Dalam operasi berasingan di Zon Bebas Pelabuhan Utara pada 12 Januari lalu, JKDM merampas 2,566 unit dapur gas bernilai kira-kira RM170,923 menerusi Op Petasan.

Siasatan awal mendapati dagangan berkenaan tiba di Pelabuhan Klang pada 5 Januari dan diimport dari sebuah negara di Asia.

Sementara itu, pada 14 Januari lalu, JKDM turut merampas tujuh unit lori dumper bernilai kira-kira RM1.57 juta dalam Op Terma di zon pelabuhan yang sama.

Nilai dagangan bagi rampasan itu dianggarkan RM1.1 juta dengan duti serta cukai sebanyak RM472,570.

Beliau berkata semua kes disiasat bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana gagal mengemukakan permit import yang sah.

JKDM turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha membanteras kegiatan penyeludupan di negara ini.