
KUALA LUMPUR,5 Mac – Seorang lelaki warga asing yang disyaki terlibat dalam cubaan mencuri kabel berhampiran landasan kereta api, di kilometer 37.478,sektor Telok Gadong – Teluk Intan petang semalam (Rabu) berjaya ditahan KTMB
- KTMB berjaya menahan lelaki warga asing disyaki mencuri kabel berhampiran landasan kereta api.
- Penahanan dilakukan oleh dua anggota polis bantuan yang sedang membuat rondaan di kawasan hotspot.
- Polis menemui beg kecil, pisau kecil dan gunting dipercayai digunakan untuk kegiatan mencuri kabel.
- Kes diserahkan kepada IPD Klang Selatan; suspek dipercayai tiada dokumen pengenalan diri.
KTMB dalam kenyataan memaklumkan kejadian berlaku kira-kira pukul 6.45 petang ketika dua anggota polis bantuannya sedang menjalankan rondaan dan pemantauan di kawasan hotspot kecurian kabel.
“Mereka kemudiannya mendekati suspek yang cuba melarikan diri.Namun, suspek berjaya ditahan.
“Hasil pemeriksaan lanjut menemukan suspek bersama beg kecil,sebilah pisau kecil dan gunting dipercayai digunakan bagi kegiatan terbabit,”katanya.
Suspek bersama bahan bukti kemudiannya diserahkan kepada Ibu pejabat Polis Daerah Klang Selatan pada pukul 7.20 malam bagi siasatan lanjut.
Suspek juga dipercayai tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan merupakan warga asing.
KTMB menegaskan perbuatan menceroboh dan merosakkan harta benda kereta api merupakan kesalahan serius di bawah Akta Keretapi 1991 (Akta 463) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).