
MIRI, 5 Mac – Seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 50-an maut selepas kenderaan yang dipandunya terbabas dan melanggar tiang lampu jalan dalam kejadian di Jalan Kuala Baram Bypass berhampiran Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri, petang semalam (Rabu).
- Kejadian berlaku petang semalam melibatkan kenderaan terbabas dan melanggar tiang lampu di Jalan Kuala Baram Bypass.
- Pemandu lelaki disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas perlanggaran.
- Kejadian disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
- Orang awam diminta hubungi pegawai penyiasat trafik atau balai polis dan nasihat pemandu supaya mematuhi peraturan jalan raya.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah menerusi kenyataan berkata, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 5.50 petang itu melibatkan sebuah kereta yang dipandu mangsa dari arah Senadin menuju ke Permyjaya.
Ujar beliau, siasatan awal mendapati kenderaan tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar tiang lampu.
“Akibat perlanggaran itu, pemandu kenderaan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Insp. Mohd Faizul Ab. Rahim di talian 014-8582582 atau 085-430479, atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa memandu dengan berhati-hati, berhemah serta mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.