
KOTA BHARU, 1 Mac – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 417 kes baharu tuberkulosis (tibi) di seluruh negara bagi Minggu Epidemiologi ke-7 tahun ini, berbanding 482 kes bagi tempoh sama tahun lalu.
- 417 kes tibi dilaporkan bagi Minggu Epidemiologi ke-7, menurun berbanding tahun lalu menunjukkan penurunan kes.
- Tiada kluster baharu dan trend menunjukkan kes tibi terus menurun, KKM menekankan saringan dan langkah pencegahan.
- Lebih 84,000 pesakit manfaat TBP dengan peruntukan >RM788 juta sejak 2005 bagi memastikan rawatan diteruskan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, penurunan itu mencerminkan keberkesanan langkah kawalan dan pencegahan yang dilaksanakan sebelum ini.
Menurut beliau, setakat ini tiada kluster baharu dilaporkan dan trend semasa menunjukkan kes terus menurun.
“Kita terus mempertingkat usaha yang telah ditekankan termasuk saringan, serta menggalakkan individu bergejala memakai pelitup muka dan mengelakkan tempat sesak. Kita mahu pastikan tiada perkembangan baharu dan semua kekal berjaga-jaga,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan Tabung Bantuan Perubatan (TBP) dan bakul makanan kepada asnaf pada Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) sempena Majlis Iftar Perdana di sini.
Dalam perkembangan lain, KKM menerima 12 aduan berkaitan kebersihan makanan di bazar Ramadan seluruh negara sehingga semalam, termasuk empat aduan yang disalurkan melalui aplikasi WhatsApp.
Bagaimanapun, tiada kes keracunan makanan dilaporkan dan tiada kompaun dikeluarkan setakat ini.
Sementara itu, lebih 84,000 pesakit telah mendapat manfaat menerusi TBP melibatkan peruntukan melebihi RM788 juta sejak diperkenalkan pada 2005.
Dzulkefly menegaskan kerajaan komited memastikan tiada rakyat tercicir daripada menerima rawatan akibat kekangan kewangan, khususnya membabitkan pesakit yang memerlukan rawatan jangka panjang.
Tahun lalu sahaja, sebanyak 3,884 permohonan TBP diluluskan dengan peruntukan berjumlah RM58.6 juta.