JBPM Kelantan hadkan cuti 20 peratus sempena Aidilfitri, tingkat kesiapsiagaan

Pengarah JBPM Kelantan, Farhan Sufyan Borhan

KOTA BHARU, 28 Februari -Hanya 20 peratus daripada 839 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan dibenarkan bercuti sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hanya 20 peratus pegawai dan anggota JBPM Kelantan dibenarkan bercuti sempena Aidilfitri untuk kekalkan kesiapsiagaan.
  • 80 peratus cuti dibekukan dan anggota akan ditugaskan sentiasa siap siaga menghadapi kesesakan dan situasi berbahaya.
  • JBPM menasihatkan orang ramai mengambil langkah pencegahan semasa peralihan monsun dan elakkan pembakaran terbuka.

Pengarah JBPM Kelantan, Farhan Sufyan Borhan berkata, berkata langkah itu diambil bagi meningkatkan kesiapsiagaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan menjelang sambutan perayaan itu.

Katanya, pihaknya menjangkakan Kelantan akan mengalami kesesakan yang kritiklal dan anggota akan ditugaskan dalam keadaan siap siaga pada setiap masa.

“Untuk makluman, kami telah diarahkan supaya sepanjang tempoh Ramadan ini mengadakan operasi siapsiaga sempena Hari Raya. Sehubungan itu, sebanyak 80 peratus cuti dibekukan dan hanya 20 peratus pegawai serta anggota dibenarkan bercuti pada satu-satu masa.

“Langkah ini akan diteruskan sehingga Hari Raya kerana kami menjangkakan sambutan tahun ini di Kelantan akan menyebabkan kesesakan yang teruk serta kemungkinan berlakunya situasi berbahaya yang tidak dijangka,” katanya kepada pemberita selepas Program Singgah Sahur @Kota Lama di Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu.

Hadir sama pada majlis itu ialah, Ahli Dewan Undangan Negeri Dr Hafidzah Mustakim dan Pengerusi Majlis Belia Kota Bharu, Ruzaini Aiman Ruzlan.

Dalam perkembangan lain, Kelantan kini berada dalam fasa peralihan daripada Monsun Timur Laut kepada Monsun Barat Daya, yang menyebabkan cuaca menjadi lebih panas dan kering.

Sehubungan itu, Farhan Sufyan menasihatkan agar orang ramai mengambil langkah pencegahan dalam tempoh peralihan monsun, serta tidak melakukan pembakaran
terbuka.