
KUALA LUMPUR, 28 Februari – Program RIUH Raya Baik-Baik 2026 yang bermula dari 25 Februari hingga 1 Mac ini menjadi platform memperkukuh produk dan rekaan tempatan menjelang Hari Raya Aidilfitri.
- RIUH Raya Baik-Baik 2026 mempromosi produk dan rekaan tempatan menjelang Aidilfitri.
- Acara menghimpunkan 73 jenama termasuk lebih 20 peserta baharu dengan pelbagai produk dan bengkel.
- Program bertujuan menggalakkan sokongan terhadap usahawan kreatif Malaysia dan pembelian produk tempatan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata program itu menyasarkan kehadiran 60,000 pengunjung sepanjang lima hari penganjurannya terutama pada hujung minggu.
Ia menghimpunkan 73 jenama termasuk lebih 20 yang menyertai program tersebut buat kali pertama dengan pelbagai pengisian melibatkan produk pakaian, makanan dan minuman, persembahan serta bengkel kraf tangan.
Penganjuran kali kedua bersama pihak TRX itu turut membuktikan komitmen berterusan pihak kementerian dalam mengetengahkan hasil kreativiti anak Malaysia kepada khalayak umum.
“Saya sangat berbangga kerana semua produk yang ditunjukkan adalah hasil idea kreatif anak-anak Malaysia, kali ini ada lebih 20 jenama yang diperagakan menyertai RIUH untuk kali pertama, jadi bukan semua sama tetapi saya telah minta supaya pasukan RIUH mengenal pasti jenama-jenama baharu untuk kita bawa ke khalayak umum,” katanya selepas melawat Program RIUH Raya Baik-Baik 2026 di Raintree Plaza @TRX, di sini
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah.
Datuk Fahmi berkata kebiasaannya jumlah pengunjung meningkat pada hujung minggu dan pihak penganjur menjangkakan kehadiran lebih ramai pada hari Sabtu dan Ahad ini.
Program tersebut bertujuan mempromosikan industri kreatif tempatan di samping menggalakkan orang ramai menyokong serta membeli produk keluaran usahawan tempatan sempena sambutan Aidilfitri yang bakal tiba.
Orang ramai yang masih belum mendapatkan kelengkapan raya atau ingin menikmati pelbagai aktiviti menarik dijemput hadir memeriahkan RIUH Raya Baik-Baik 2026.