
KUALA LUMPUR, 24 Februari – Beregu wanita negara, Pearly Tan dan M. Thinaah terus menjadi sandaran utama untuk menjulang gelaran All England 2026.
- Pearly Tan dan M. Thinaah kekal sandaran utama untuk All England dengan sasaran tinggi.
- Jurulatih tekankan disiplin dan mentaliti kemenangan meskipun prestasi kadang turun naik.
- Dua pusingan awal di Birmingham penting untuk bina momentum dan sesuaikan diri dengan gelanggang.
- Fokus latihan sebulan lalu pada peningkatan kapasiti fizikal, 70% diberi kepada kecergasan.
Ketua jurulatih beregu wanita, Rosman Razak menegaskan meskipun prestasi gandingan itu boleh berubah sepanjang musim, fokus utama adalah mengekalkan disiplin serta mentaliti kemenangan dalam setiap perlawanan.
“Pearly-Thinaah tak boleh lari daripada sasaran tinggi. Tetapi kita juga kena realistik. Kadang-kadang prestasi turun naik. Yang penting, bagaimana kita menghadapi dan cuba menang walaupun tidak berada pada tahap terbaik,” katanya.
Rosman ditemui media pada sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia, di sini.
Beliau turut menekankan kepentingan dua pusingan awal di Birmingham sebagai fasa penting untuk membina momentum.
Menurutnya, jika ia dapat dilalui dengan lancar, ia memberi ruang kepada pasangan itu menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang, faktor angin, tekanan perlawanan serta strategi lawan.
“Kalau dua pusingan awal boleh lepas dengan baik, saya rasa keyakinan akan jadi lebih positif untuk peringkat seterusnya,” katanya.
Dalam pada itu, Rosman menjelaskan keputusan tidak menyertai Terbuka Jerman sebagai kejohanan pemanas badan dibuat bagi mengelakkan keletihan dalam kalangan pemain.
Pengalaman dua hingga tiga tahun lalu menunjukkan jadual padat memberi kesan fizikal.
“Selalunya kita pergi Jerman untuk panas badan, tetapi untuk pemain, sesi itu sebenarnya tidak wujud. Mereka tetap perlu menang. Tahap kejohanan itu juga tinggi dan daripada maklum balas sebelum ini, pemain agak penat selepas Jerman,” katanya.
Selain strategi kejohanan, beliau memaklumkan fokus utama dalam tempoh latihan sebulan lalu adalah meningkatkan kapasiti fizikal pemain.
Satu daripada dua blok latihan panjang yang tersedia tahun ini digunakan hampir sepenuhnya untuk aspek fizikal.
Kira-kira 70 peratus penekanan diberikan kepada latihan kecergasan sebagai persediaan menghadapi cabaran di All England.