
KUALA LUMPUR, 24 Februari– CIMB Islamic Bank Berhad dan CIMB Foundation (CIMB) telah memperuntukkan lebih RM2.22 juta bagi program Harapan Ramadan tahun ini, khusus bagi memperkasa tahap sosioekonomi lebih 45,000 penerima daripada komuniti yang kurang mendapat perhatian.
- CIMB peruntuk lebih RM2.22 juta untuk program Harapan Ramadan, menyasarkan pemerkasaan sosioekonomi lebih 45,000 penerima.
- Fokus strategik kini integrasi perniagaan kecil ke dalam rantaian nilai dan kerjasama dengan 100 kedai runcit tempatan.
- CIMB sediakan dana permulaan RM1,000 kepada 50 usahawan mikro termasuk alumni iTEKAD dan projek perumahan rakyat.
CIMB menerusi kenyataan berkata edisi kali ini menandakan peralihan strategik ke arah memperkukuh ekonomi tempatan melalui usaha integrasi perniagaan kecil ke dalam rantaian nilai program tersebut.
Bank itu turut bekerjasama dengan 100 kedai runcit berhampiran kawasan agihan bagi membekalkan barangan makanan.
”Pada masa sama, CIMB turut menyediakan dana permulaan sebanyak RM1,000 kepada 50 usahawan mikro asnaf sebagai platform permulaan bagi mengembangkan perniagaan sepanjang Ramadan.”
”Ini termasuk alumni iTEKAD Program Keusahawanan CIMB Islamic–Taylor’s serta usahawan mikro dari Projek Perumahan Rakyat angkat CIMB di bawah Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni MADANI),” kata kenyataan itu.
Harapan Ramadan merupakan inisiatif utama di bawah agenda impak sosial Kumpulan CIMB yang berteraskan prinsip keterangkuman kewangan bagi memastikan impak bermakna dan jangka panjang, melangkaui bantuan bermusim.
Sejak diperkenalkan pada 2022, sejumlah RM8.7 juta dana telah disalurkan dengan memanfaatkan lebih 174,500 penerima serta melibatkan lebih 1,300 kakitangan CIMB dalam inisiatif kesukarelawanan di seluruh negara.