
KUALA LUMPUR, 23 Februari – Pengukuhan nilai ringgit serta pembentangan pindaan penting Perlembagaan Persekutuan di Parlimen mencerminkan kestabilan dan komitmen agenda reformasi Kerajaan Perpaduan.
- Pengukuhan ringgit dilihat sebagai tanda ekonomi negara berada pada landasan betul dan kestabilan makroekonomi.
- Pembentangan pindaan Perlembagaan menunjukkan komitmen Kerajaan Perpaduan terhadap reformasi institusi.
- Pindaan had tempoh Perdana Menteri kepada 10 tahun memberi isyarat pembaharuan pengurusan kuasa politik.
- Pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya memenuhi tuntutan lama komuniti undang-undang untuk ketelusan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata kedudukan nilai ringgit yang berada pada paras 3.88 berbanding dolar Amerika Syarikat dan 3.07 berbanding dolar Singapura.
“Kita telah lihat dan saksikan pada hari ini nilai mata wang ringgit berada pada paras 3.88 pada suatu ketika dan kepada dolar Singapura 3.07. Ini satu petanda bahawa ekonomi negara berada pada kedudukan yang betul,” kata beliau ketika ditemui media selepas menyantuni penduduk Lembah Pantai dalam program agihan bubur lambuk anjuran Kami Care Bubur Lambuk @Lembah Pantai di Bazar Ramadan Jalan Telawi, di sini hari ini.
Datuk Fahmi berkata beberapa reformasi utama sedang dilaksanakan di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI termasuk dua pindaan Perlembagaan yang telah dibentangkan di Parlimen iaitu mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun serta memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
“Cadangan pengasingan jawatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya merupakan antara reformasi yang telah lama dibincangkan dan dinantikan pelbagai pihak, termasuk pengamal undang-undang sejak lebih sedekad lalu. Usaha tersebut dilaksanakan di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan sokongan parti-parti komponen,” jelas beliau.
Beliau yakin perkembangan itu mencerminkan petanda positif bahawa parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan mampu mengumpul kekuatan bersama bagi melaksanakan segala perancangan yang telah dirangka, dalam tempoh berbaki kurang dua tahun sebelum tamat penggal pentadbiran semasa.