
BANGI, 22 Februari – Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menganjurkan Majlis Iftar Muzakki 2026 bagi menyantuni pembayar zakat dan golongan asnaf.
- Majlis Iftar Muzakki 2026 memperkukuh kerjasama antara PPZ-MAIWP, muzakki dan rakan strategik untuk meningkatkan kepercayaan kepada institusi zakat.
- Penyampaian sumbangan zakat dilihat sebagai manifestasi keikhlasan dan usaha meringankan beban asnaf demi masyarakat sejahtera.
- RM148,000 diagihkan melalui dana wakalah SSM kepada pertubuhan asnaf dan pelajar tahfiz terpilih.
- PPZ-MAIWP memperkenal Anugerah Pengiktirafan kepada SSM atas kecemerlangan pengurusan agihan wakalah dan komitmen zakat korporat.
Program sempena Ramadan menjadi platform menghimpunkan rakan strategik serta muzakki dalam memperkukuh jaringan kerjasama serta kepercayaan terhadap institusi zakat di negara ini.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata setiap sumbangan zakat yang disalurkan merupakan manifestasi keikhlasan dan kesedaran bahawa dalam setiap rezeki, wujud hak orang lain yang perlu disantuni.
Komitmen ini bukan sekadar kewajipan, malah peluang keemasan untuk meringankan beban asnaf serta membina masyarakat yang lebih sejahtera.
“Ramadan mengajar kita bahawa keberkatan sebenar tidak diukur pada jumlah harta, tetapi pada ketulusan hati dalam menyebarkan manfaat. Kerajaan dan institusi zakat merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pembayar atas kepercayaan berterusan, dengan harapan setiap sumbangan ini menjadi ‘saham akhirat’ serta asbab keberkatan dalam kehidupan dan perniagaan para pembayar ”. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman.
Pada majlis tersebut, sebanyak RM148,000 bantuan kewangan zakat disalurkan melalui dana wakalah syarikat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kepada pertubuhan asnaf dan pelajar tahfiz terpilih.
Sejumlah RM120,000 diperuntukkan kepada enam pertubuhan asnaf antaranya Gabungan Anak-anak Palsi Serebum, Persatuan Dyslexia Malaysia, Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia, Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Malaysia (PERTIS), Rumah Bakti Al-Kausar dan Maahad Tahfiz Darul Fuqaha.
Seramai 80 anak yatim dan pelajar tahfiz turut diraikan dengan pemberian saguhati duit raya berjumlah RM18,000 serta cenderahati bernilai RM10,000 bagi memeriahkan suasana Ramadan.
PPZ-MAIWP turut memperkenalkan Anugerah Pengiktirafan buat julung kali kepada SSM atas kecemerlangan pengurusan agihan wakalah dan komitmen konsisten sebagai pembayar zakat korporat tertinggi.
Majlis yang diadakan di sebuah hotel di Bangi turut menghimpunkan 100 muzakki bersama keluarga sebagai tanda penghargaan PPZ-MAIWP atas komitmen berterusan mereka dalam menunaikan zakat demi kelangsungan agenda kebajikan.