
PUTRAJAYA, 19 Februari – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai solat jenazah bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad di Musolla Taman Selatan, Presint 20, hari ini.
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir solat jenazah Tun Abdul Hamid di Musolla Taman Selatan, Presint 20.
- Solat jenazah diimamkan Rafuwan Putra Affendi dan dihadiri kira-kira 200 ahli keluarga serta kenalan.
- Jenazah disemadikan pada pukul 6 petang di Tanah Perkuburan Islam Putrajaya, Presint 20.
- Tun Abdul Hamid, bekas Ketua Hakim Negara, meninggal dunia pada usia 84 tahun selepas menerima rawatan sejak 9 Februari.
Perdana Menteri tiba di musolla berkenaan kira-kira pukul 4.50 petang sebelum menunaikan solat Asar yang diimamkan peguam, Datuk Zulkifli Noordin.
Solat jenazah diimamkan Imam Masjid Mahmoodiah Presint 18, Rafuwan Putra Affendi dan disertai kira-kira 200 ahli keluarga serta kenalan Allahyarham.
Jenazah Allahyarham Tun Abdul Hamid selamat disemadikan pada pukul 6 petang di Tanah Perkuburan Islam Putrajaya, Presint 20.
Turut hadir Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh; Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin; serta bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Tun Abdul Hamid meninggal dunia pada usia 84 tahun ketika menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia sejak 9 Februari lalu.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Toh Puan Hamidah Choong Abdullah serta empat orang anak.
Ketika hayatnya, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Ketua Hakim Negara dari Disember 2007 hingga Oktober 2008.
Allahyarham sebelum itu dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 1 Mei 1990, Hakim Mahkamah Tinggi pada 1992, Hakim Mahkamah Rayuan pada 1 September 2000 dan Hakim Mahkamah Persekutuan pada 1 Ogos 2003.