Trump pertimbang hantar senjata tambahan ke Taiwan

Presiden Donald Trump/Foto AFP

WASHINGTON, 17 Februari – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata beliau akan membuat keputusan tidak lama lagi sama ada mahu menghantar lebih banyak senjata ke Taiwan susulan amaran Presiden China, Xi Jinping.

RINGKASAN BERITA AI
  • Trump akan buat keputusan segera mengenai penghantaran senjata tambahan ke Taiwan.
  • Perbualan telefon Trump dengan Xi dianggap baik dan hubungan kedua pemimpin dilaporkan baik.
  • Xi menggesa saling menghormati dan memberi amaran supaya Washington berhati-hati dalam jualan senjata Taiwan.
  • AS kekal penyokong ketenteraan utama Taiwan selepas kelulusan jualan senjata AS$11 bilion.

Menurut Trump, perkara itu sedang dibincangkan selepas kedua-duanya mengadakan perbualan telefon yang disifatkannya sebagai baik serta menegaskan beliau mempunyai hubungan yang baik dengan pemimpin China itu.

Dalam perbualan pada 4 Februari lalu, Xi Jinping menggesa hubungan China-AS berasaskan saling menghormati dan memberi amaran supaya Washington berhati-hati dalam urusan penjualan senjata kepada Taiwan.

Xi berkata isu Taiwan merupakan perkara paling penting dalam hubungan kedua-dua negara.

Amerika Syarikat tidak mengiktiraf Taiwan secara rasmi tetapi kekal sebagai penyokong ketenteraan utama wilayah itu.

Taipei memaklumkan Washington meluluskan penjualan senjata bernilai AS$11 bilion kepada Taiwan pada Disember lalu.

Tidak lama selepas itu, China melancarkan latihan tembakan besar-besaran bagi mensimulasikan sekatan terhadap pelabuhan utama Taiwan.-AFP