Van ’t Wout raih emas kedua Sukan Olimpik Musim Sejuk

Atlet Belanda, Jens van ‘t Wout menghadiahkan emas kedua peribadi apabila menjuarai acara 1,500 meter lelaki trek pendek luncur ais Sukan Olimpik Musim Sejuk Milano Cortina/ REUTERS

MILAN, 15 Februari – Jens van ‘t Wout menghadiahkan emas kedua peribadi apabila menjuarai acara 1,500 meter lelaki trek pendek luncur ais pada temasya Sukan Olimpik Musim Sejuk Milano Cortina 2026, pada Sabtu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jens van ’t Wout menang emas 1,500m trek pendek, memimpin sejak empat pusingan terakhir dan mengekalkan kelebihan hingga garisan penamat.
  • Kejayaan itu melengkapkan berganda selepas emas 1,000m dan menjadi penebusan selepas hampir berhenti selepas kemalangan 2019.
  • Belanda terus dominan apabila Xandra Velzeboer menang emas 500m wanita, sementara kejutan hoki ais wanita Switzerland mara ke separuh akhir.

Atlet Belanda berusia 24 tahun itu memimpin perlumbaan berbaki empat pusingan sebelum mengekalkan kedudukan hingga ke garisan penamat di Arena Luncur Ais Milan.

Kejayaan tersebut melengkapkan pencapaian berganda selepas beliau turut memenangi emas acara 1,000 meter sebelum ini.

Juara bertahan dari Korea Selatan, Hwang Dae-heon meraih pingat perak manakala Roberts Kruzbergs dari Latvia membawa pulang gangsa. Perlumbaan akhir menyaksikan penyertaan tambahan atlet susulan insiden terjatuh pada separuh akhir.

Kejayaan itu menjadi penebusan buat van ’t Wout yang pernah hampir meninggalkan sukan berkenaan selepas kemalangan pada 2019.

Rakan senegara, Xandra Velzeboer turut menyumbang emas dalam acara 500 meter wanita, sekali gus mengukuhkan dominasi Belanda dalam acara trek pendek.

Sementara itu dalam saingan hoki ais wanita, Switzerland mengejutkan Finland 1-0 untuk mara ke separuh akhir dan bakal bakal berdepan juara bertahan, Kanada. Gol tunggal dijaringkan Alina Muller, manakala penjaga gol Andrea Braendli cemerlang menafikan 40 percubaan lawan.

Bagi saingan hoki ais lelaki, Amerika Syarikat (AS) bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Denmark 6-3 dalam aksi Kumpulan C.

Penjaga gol AS, Jeremy Swayman sebelum itu melepaskan satu gol mudah namun pasukannya kembali memperkemas permainan bagi memastikan kemenangan kali kedua kejohanan itu. -REUTERS