Angkat martabat rakyat terus jadi keutamaan kerajaan MADANI

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama rakyat ketika melawat ruang reruai pada Majlis Santuni MADANI dan Sambutan Ihya’ Ramadan 1447H Warga Padang Rengas Bersama Perdana Menteri di Dewan Terbuka Masjid Al-Taufiqiah, Kampung Chuar Kati hari ini. / Foto BERNAMA

PADANG RENGAS, 14 Februari – Usaha mengangkat martabat rakyat dan negara terus menjadi keutamaan Kerajaan MADANI bagi memastikan hasil pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati secara menyeluruh.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan MADANI terus utamakan peningkatan martabat rakyat dan negara melalui pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif.
  • Peluasan akses pendidikan dan peningkatan kebajikan rakyat menjadi fokus utama untuk pemanfaatan hasil ekonomi.
  • Pelarasan gaji penjawat awam dan tadbir urus telus dijalankan bagi memastikan peruntukan sampai kepada rakyat.
  • Pemberian sumbangan dan bantuan komuniti termasuk RM2 juta untuk masjid serta sokongan kepada sekolah agama dan Dapur MADANI.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata komitmen itu diterjemahkan menerusi peluasan akses pendidikan, peningkatan kebajikan rakyat serta pelarasan gaji penjawat awam.

Langkah tersebut dilaksanakan melalui tadbir urus yang telus dan pengurusan kewangan berhemah bagi memastikan setiap peruntukan sampai kepada rakyat.

“Ekonomi kita meningkat Lebih baik daripada apa yang kita unjurkan. Saya kebetulan jaga juga kita unjur sekian nampak lebih baik daripada itu. Alhamdulillah.

“Sebab itu kita boleh belanja lebih. Orang nak kritik tak apa, tetapi berapa jumlah STR yang kita bagi setiap tahun RM15 bilion untuk semua ya bukan satu jumlah yang kecil,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Santuni MADANI dan Sambutan Ihya’ Ramadan 1447 Hijrah di Dewan Terbuka Masjid Al-Taufiqiah, Kampung Chuar Kati di sini.

Dalam majlis berkenaan, beliau turut mengumumkan sumbangan RM2 juta bagi pembangunan Masjid Al-Taufiqiah, selain menyampaikan bantuan kepada 28 buah masjid, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Maahad Al Yahyawiah serta Dapur MADANI.