
PUTRAJAYA, 14 Februari – Lembaga Tabung Haji (TH) menyumbang RM1.4 juta zakat wakalah kepada 14 sekolah di seluruh negara berteraskan pendidikan Islam bagi menyokong inisiatif Program Sekolah Angkat MADANI.
- TH salur RM1.4 juta zakat wakalah kepada 14 sekolah bagi sokong Program Sekolah Angkat MADANI.
- Pengagihan zakat selaras Maqasid Syariah untuk manfaat strategik dan mampan kepada pendidikan Islam.
- Setiap sekolah terima RM100,000 untuk baik pulih fasiliti, bantuan pelajar, dan pembangunan akademik serta sahsiah.
- Sumbangan dijangka tingkatkan kemudahan pembelajaran, keberkesanan pengurusan dan operasi pendidikan Islam.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga TH, Mustakim Mohamad memaklumkan bahawa pengagihan zakat itu selaras dengan Maqasid Syariah bagi memastikan ia dimanfaatkan secara strategik dan mampan, sekali gus memartabatkan pendidikan Islam yang diyakini mampu melahirkan modal insan berilmu, berakhlak serta berkemahiran tinggi.
“Program-program zakat wakalah TH juga selari dengan nilai teras Malaysia MADANI seperti ihsan, akhlak dan daya cipta yang memberi penekanan kepada pemerkasaan komuniti, mobiliti sosial serta peningkatan taraf hidup.
“Setiap sekolah sama ada sekolah agama, madrasah, pondok dan tahfiz akan menerima sumbangan sebanyak RM100,000 bagi membantu daripada segi penambahbaikan fasiliti, sokongan kewangan kepada pelajar yang layak, pembangunan akademik dan sahsiah pelajar,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut berharap sumbangan itu dapat membantu menyediakan kemudahan pembelajaran yang lebih baik dan selesa, sekali gus menambahbaik keberkesanan pengurusan serta operasi pendidikan Islam.