Tunggu hasil siasatan sebelum putus kedudukan Azam Baki – PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Pusat Islam, Politeknik Shah Alam/Foto RTM

SHAH ALAM, 13 Februari – Sebarang keputusan mengenai kedudukan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki hanya akan dibuat selepas siasatan selesai.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keputusan mengenai kedudukan Ketua Pesuruhjaya SPRM hanya dibuat selepas siasatan selesai dan diteliti secara terperinci.
  • Siapa menggendalikan siasatan: dipimpin Ketua Setiausaha Negara, bersama Peguam Negara dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.
  • Jangan buat kesimpulan awal atau tekanan politik; SPRM diminta terus jalankan tugas dengan berani dan tegas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu perlu diteliti secara terperinci dan tidak wajar tindakan dibuat secara tergesa-gesa termasuk cadangan supaya beliau direhatkan sepanjang tempoh siasatan.

“Biar dikaji dulu, kes kena tahu dahulu sama ada serius atau ada asas, kemudian baru kita lanjutkan,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Pusat Islam, Politeknik Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata siasatan kini dikendalikan sebuah badan yang diketuai Ketua Setiausaha Negara dengan penelitian lanjut bersama Peguam Negara selain melalui proses biasa melibatkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.

Datuk Seri Anwar menegaskan proses penelitian akan dijalankan secara telus dan teratur termasuk dari aspek pentadbiran serta tatakelola.

Pada masa sama, beliau tidak mahu isu berkenaan menjejaskan peranan keseluruhan SPRM dalam usaha membanteras rasuah.

“Saya tak mahu ini mengganggu peranan SPRM seluruhannya kerana tentunya ada usaha untuk mengekang terutama bila mereka lebih tegas membanteras rasuah, jadi ada pihak berkepentingan yang melindungi perasuah menggunakan isu ini,” katanya.

Beliau berkata terdapat pihak tertentu yang mungkin cuba memanfaatkan isu itu untuk melemahkan usaha penguatkuasaan rasuah khususnya apabila SPRM mengambil tindakan tegas terhadap kes berprofil tinggi.

“Sebab itu saya tegaskan kepada SPRM jangan peduli pandangan lain, mereka mesti jalankan tugas dengan berani dan tegas. Negara ini mesti diselamatkan daripada angkara rasuah yang merebak,” katanya lagi.

Sehubungan itu Perdana Menteri menasihatkan semua pihak agar tidak membuat kesimpulan awal atau menggunakan tekanan politik sebelum hasil siasatan diperoleh.

“Jangan kerana kita tertekan, terus guna peluang ini untuk tekan. Biar siasatan berjalan dahulu,” katanya.

Terdahulu Tan Sri Azam Baki menegaskan kesediaannya disiasat mana-mana jawatankuasa bebas berhubung dakwaan berkaitan pegangan saham yang dibangkitkan.