Anugerah E50 perkasa PMKS, sasaran pasaran global

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Steven Sim Chee Keong pada Majlis Pelancaran Program E50 bagi 2026/Foto RTM

KUALA LUMPUR, 12 Februari – Usaha memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk menembusi pasaran antarabangsa terus diperkukuh menerusi Program Anugerah Enterprise 50 (E50).

RINGKASAN BERITA AI
  • Program E50 perkasa PMKS melalui E50 Export Conference dan Biz Matching untuk perluas peluang perniagaan serta sokong pertumbuhan eksport.
  • Kementerian perkenal Strategi ABCD: Anjakan Produktiviti, Birokrasi Dipermudahkan, Capaian Modal, Daya Akses Pasaran untuk bina ekosistem inklusif.
  • Pencalonan Anugerah E50 dibuka hingga 31 Julai dan majlis penganugerahan dijadualkan pada Oktober.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Steven Sim Chee Keong berkata, penganjuran kali ini lebih dinamik menerusi program E50 Export Conference dan E50 Biz Matching bagi memperluas peluang perniagaan serta menyokong pertumbuhan eksport PMKS tempatan.

Inisiatif itu menyediakan platform strategik kepada usahawan untuk membincangkan cabaran, memperluas jaringan perniagaan serta meneroka peluang pasaran baharu menerusi perjanjian perdagangan serantau dan global.

“Keupayaan PMKS menyesuaikan diri dengan peralihan pasaran serta peluasan aktiviti eksport merupakan kunci untuk meningkatkan daya saing dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Sim berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pelancaran Program E50 bagi 2026 di sini pada Khamis.

Menurut beliau, Malaysia kini berdepan tiga cabaran utama ekonomi global, antaranya dasar perlindungan ekstrem oleh negara-negara barat, persaingan sengit khususnya daripada ekonomi besar seperti China, serta pengurangan kelebihan daya saing.

Sehubungan itu, kementerian memperkenalkan Strategi ABCD sebagai pendekatan utama iaitu Anjakan Produktiviti, Birokrasi Dipermudahkan, Capaian Modal dan Daya Akses Pasaran bagi membina ekosistem perniagaan yang lebih inklusif dan mesra usahawan

Pencalonan Anugerah E50 dibuka sehingga 31 Julai dengan majlis penganugerahan yang merupakan kemuncak Program E50 dijadualkan pada Oktober.