Rumah ibadat tidak sah: MB Selangor arah prosedur dipertingkat

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari

SHAH ALAM, 12 Februari -Prosedur yang diguna pakai kerajaan negeri ketika ini berhubung isu rumah ibadat tidak sah yang menduduki tanah milik kerajaan perlu dipertingkatkan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkuatkan prosedur PBT dan SOP LIMAS untuk tindakan segera terhadap rumah ibadat tidak sah di tanah kerajaan.
  • Pemilik tanah persendirian perlu melalui mahkamah; tiada tindakan sendiri mengikut Kanun Tanah Negara.
  • JKD dipertanggungjawab sebagai pengantara termasuk PDRM dan PBT; jika gagal, nasihatkan tindakan mahkamah.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dalam kenyataan mengarahkan, tindakan segera pada peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) serta pengukuhan Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) Jawatankuasa Rumah Ibadat Lima Agama Selangor (LIMAS) yang lebih jelas, perlu dilaksanakan.

“Untuk rumah ibadat yang menduduki tanah milik persendirian pula, proses sedia ada memerlukan pemilik tanah melantik peguam untuk mendapat perintah mahkamah bagi membolehkan sebarang pengosongan dan perobohan berlaku.

“Semua pihak tidak boleh mengambil tindakan sendiri tanpa melalui proses mahkamah. Ini berdasarkan Kanun Tanah Negara dan undang-undang berkait tanah,” katanya.

Susulan itu, Datuk Seri Amirudin berkata mengambil kira aspek keselamatan, Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Selangor memutuskan bahawa mana-mana pemilik tanah yang mendapati pencerobohan telah berlaku (di tanah milik mereka) dan rumah ibadat dibina tanpa kelulusan perlu membuat laporan polis.

“Langkah ini akan membolehkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat dan sekiranya terbukti, proses pendakwaan bagi kesalahan pencerobohan itu akan dimulakan.

“Kedua, menghantar notis kepada pihak penceroboh dan memaklumkan secara rasmi kepada Pejabat Daerah. Jawatankuasa Keselamatan Daerah (JKD) yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah telah diaktifkan di semua daerah di Selangor,” katanya.

Untuk langkah seterusnya, Datuk Seri Amirudin berkata, JKD bakal bertindak sebagai pengantara yang akan memanggil semua pihak termasuk pemilik tanah, pemilik rumah ibadat, PDRM dan PBT bagi mencapai penyelesaian yang munasabah.

“Sekiranya proses ini tidak membuahkan hasil, JKD akan menasihatkan supaya proses mahkamah diteruskan oleh pemilik tanah.

“Pendekatan ini digunakan supaya keseluruhan proses ini melibatkan pihak berkuasa dan mengelakkan sebarang insiden yang mampu mencetuskan rusuhan berlaku,” katanya.

Terdahulu, Datuk Seri Amirudin memaklumkan beliau mempengerusikan Mesyuarat MKN Selangor yang turut dihadiri Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar, Panglima Markas 11 Bridged, Yang Dipertua Majlis, dan pegawai daerah berkenaan tahap keselamatan awam negeri, petang tadi.

“Ini susulan daripada isu berhubung rumah ibadat yang menimbulkan pelbagai silang pendapat daripada pelbagai pihak. PDRM sedang menyiasat insiden yang berlaku di Rawang semalam dan akan melalui proses undang-undang yang sewajarnya.

“Kejadian di Rawang semalam telah mencetuskan kegusaran dan kerisauan dalam kalangan rakyat. Ini perlu ditangani segera untuk mengelakkan sebarang insiden yang akan menggugat keharmonian negeri atas faktor kaum dan agama,” katanya.

Menerusi mesyuarat itu, beliau memaklumkan secara keseluruhan, terdapat dua isu utama melibatkan rumah ibadat yang tidak sah, iaitu rumah ibadat yang menduduki tanah milik kerajaan negeri, dan rumah ibadat yang didirikan di atas tanah milik persendirian.