
SHAH ALAM, 12 Februari – Pencapaian kewangan Selangor yang berada pada tahap kukuh dengan rizab melebihi 4 bilion ringgit serta hasil tahunan antara tertinggi pernah direkodkan, hasil peranan besar yang dimainkan penjawat awam negeri itu.
- Penjawat awam adalah nadi utama kejayaan dasar dan pembangunan negeri.
- Fahami dasar dengan jelas dan laksanakan dengan komitmen serta keupayaan.
- Terapkan fleksibiliti dan kreativiti untuk menyampaikan manfaat ke peringkat akar umbi.
- Tingkatkan pelaksanaan projek; kelewatan boleh menjejaskan pencapaian keseluruhan.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata penjawat awam merupakan nadi utama kejayaan dasar dan pembangunan negeri, sekali gus membantu memastikan prograk Kerajaan Negeri benar-benar memberi manfaat kepada lebih 7.3 juta rakyat negeri itu.
Katanya, tanpa kefahaman yang jelas, komitmen serta keupayaan dalam
pelaksanaan dasar, segala perancangan hanya akan tinggal sebagai dokumen di atas kertas.
“Tanpa anda semua yang bekerja di pelbagai Jabatan dan Agensi di
pelbagai peringkat sama ada negeri, daerah mahupun agensi persekutuan, beberapa dasar yang diumumkan kerajaan serta pelbagai pendekatan program, mungkin hanya satu kertas yang boleh dibanggakan tanpa sampai ke peringkat akar umbi.
“Ini memerlukan kefahaman yang jitu dan betul mengenai sesuatu dasar dan dalam masa yang sama mempunyai fleksibiliti atau kreativiti dalam memberikan kefahaman kepada rakyat di peringkat akar umbi,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perkhidmatan Cemerlang APC 2025 dan Anugerah Jasamu Dikenang AJD 2016 Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di sini.
Beliau bagaimanapun berharap semua pihak tidak seharusnya berpuas hati dengan pencapaian itu.
“Walaupun pelaksanaan projek pembangunan telah mencapai tahap 90 peratus, ia perlu terus dipertingkatkan kerana baki yang masih tertangguh boleh menjejaskan pencapaian keseluruhan,” katanya.