Penguatkuasaan Akta 872 tahun ini, lindungi kebajikan pekerja gig

KUALA LUMPUR, 10 Februari – Penguatkuasaan Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) akan dilaksanakan tahun ini bagi mengiktiraf status sekali gus melindungi kebajikan golongan berkenaan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata langkah itu akan memperkasa jaringan keselamatan sosial bagi 3.45 juta pekerja sektor tidak formal merangkumi 21.8 peratus daripada jumlah guna tenaga negara.

Beliau berkata menerusi pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 pula, kerajaan memperkenalkan Skim LINDUNG 24 Jam yang menawarkan perlindungan menyeluruh sepanjang tempoh penggajian, termasuk kemalangan di luar waktu kerja.

“Prinsip tiada siapa yang ditinggalkan akan terus menjadi asas kepada dasar buruh dan perlindungan sosial negara.

“Kerajaan komited untuk memastikan bahawa pembangunan ekonomi digital negara tidak berlaku dengan mengorbankan kesejahteraan pekerja dan masa depan keluarga mereka”, katanya.

Beliau menggulung perbahasan Titah Diraja mewakili Kementerian Sumber Manusia di Dewan Rakyat hari ini.

Menerusi Belanjawan 2026, kerajaan menyalurkan insentif 70 peratus caruman di bawah skim LINDUNG Kendiri bagi pendaftaran kali pertama dalam sektor belum dimandatorikan, selain pembaharuan caruman tahun kedua secara sukarela sebanyak 50 peratus bagi menggalakkan caruman berkenaan.

Setakat 31 Disember 2025, seramai 869,913 Orang Bekerja Sendiri telah berdaftar dan mencarum secara aktif di bawah LINDUNG Kendiri, dengan 299,674 daripadanya merupakan pekerja sektor gig termasuk e-hailing atau e-panggilan.