
PETALING JAYA, 10 Febuari – Skuad futsal wanita negara, Malayan Tigress meletakkan sasaran untuk mara ke separuh akhir pada kejohanan Futsal Wanita ASEAN 2026.
Kejohanan yang berlangsung di Korat, Thailand pada 24 Februari depan menyaksikan , skuad negara diundi dalam kumpulan A berdepan laluan sukar menentang tuan rumah, Thailand dan Indonesia.
Ketua jurulatih skuad futsal wanita negara, Jamhuri Zainuddin, berkata pasukannya akan berusaha menampilkan prestasi terbaik terbaik pada kejohanan itu nanti.
Jelasnya, fokus persiapan pasukan tertumpu kepada memperbaiki kelemahan terutamanya dari segi taktikal permainan.

“Realistik, Thailand dan Indonesia adalah pasukan lebih baik dengan persiapan lebih mantap daripada kita.
“Tapi dalam perlawanan, kita cuba beri saingan sehabis baik, menangkis taktikal lawan dan memanfaatkan peluang yang ada. Walaupun persiapan singkat, kita tetap akan berikan saingan hebat”, katanya demikian ketika ditemui pada sesi latihan Skuad Futsal Malayan Tigress yang berlangsung di Arena Futsal Wisma FAM, di sini.
Tambah Jamhuri, skuad kali ini terdiri daripada kombinasi pemain skuad Sukan SEA 2025 dan bola sepak wanita kebangsaan.
Ujarnya, kobinasi berkenaan diharapkan mampu memberikan tonik tambahan buat skuad negara bagi menghadapi edisi kali ini.