LTdL 2026: MSN tunggu lampu hijau kabinet

Majlis Sukan Negara (MSN) kini masih menunggu kelulusan kabinet berhubung penganjuran LTdL 2026/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 Febuari – Majlis Sukan Negara (MSN) masih menunggu keputusan Kabinet berhubung penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026, sebelum sebarang pengumuman rasmi dapat dibuat bagi memastikan kejohanan itu dilaksanakan mengikut jadual.

RINGKASAN BERITA AI
  • MSN masih menunggu kelulusan Kabinet sebelum mengumumkan penganjuran LTdL 2026.
  • Kertas Kabinet telah dihantar ke KBS dan dijangka dibentangkan tidak lama lagi.
  • Perbincangan dalaman dengan persatuan dan pasukan teknikal sudah dijalankan untuk persediaan segera.
  • Peranan MOTAC, KBS dan MSN diselaraskan; tarikh LTdL 2026 bergantung kepada keputusan Kabinet.

Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin menyatakan kertas Kabinet berhubung penganjuran perlumbaan berstatus UCI ProSeries itu telah dikemukakan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan dijangka dibentangkan dalam masa terdekat.

“Kita kertas kabinet kita telah pun dihantar kepada KBS untuk dibentangkan di mesyuarat kabinet pada masa terdekat dan kita tunggu keputusan kabinet dan baru kita akan umumkan” katanya demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MSN dan Institut Sukan Hong Kong di ibu negara.

Menurut Jefri, meskipun kelulusan rasmi masih belum diperoleh, perbincangan awal di peringkat dalaman telah dijalankan bersama persatuan berkaitan serta pasukan teknikal bagi memastikan persiapan kejohanan dapat dimulakan segera sebaik keputusan Kabinet diterima.

Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin / RTM

“Walau bagaimanapun diperingkat dalaman kita telah pun mengadakan perbincangan dengan pihak persatuan dan juga teknikal team untuk memastikan ltdl dapat dilaksanakan secepat mungkin selepas dapat keputusan kabinet” Jelasnya.

Terdahulu, bekas Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan perbincangan awal antara KBS dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah diadakan bagi menyelaras tanggungjawab kedua-dua kementerian, termasuk aspek pembiayaan dan promosi kejohanan.

Sebelum ini, MOTAC dilaporkan bakal mengambil alih penganjuran LTdL bermula 2026, manakala KBS kekal sebagai penganjur utama dengan MSN bertanggungjawab terhadap pelaksanaan kejohanan.

LTdL 2026 dijadual berlangsung dari 27 September hingga 4 Oktober depan, tertakluk kepada keputusan Kabinet.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.