Australia beri amaran terhadap Roblox

FOTO AFP

SYDNEY, 10 Februari – Menteri Komunikasi Australia memaklumkan pada Selasa telah menulis surat kepada syarikat permainan video Roblox bagi menuntut satu pertemuan segera, susulan laporan berkaitan eksploitasi dan gangguan seksual kanak-kanak di platform berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menteri Anika Wells tuntut pertemuan segera dengan Roblox untuk jelaskan langkah keselamatan kanak-kanak di platform.
  • Laporan mendakwa Roblox gagal melindungi kanak-kanak daripada kandungan ganas, grooming dan pornografi.
  • eSafety Commissioner diminta meneliti kemungkinan ambil tindakan segera terhadap Roblox.
  • Roblox kata ada dasar keselamatan kukuh dan bersedia memberi penerangan kepada kerajaan Australia.

Menteri Komunikasi Australia, Anika Wells, berkata beliau menggesa pihak pengurusan tertinggi Roblox bertemu dengannya bagi menjelaskan langkah-langkah yang akan diambil untuk memastikan keselamatan kanak-kanak di alam maya.

“Ramai dalam kalangan kita, termasuk saya sendiri, berasa terkejut apabila mengetahui kanak-kanak seawal usia empat atau lima tahun terdedah kepada keganasan yang bersifat grafik dan keterlaluan di platform ini,” katanya dalam temu bual bersama penyiar nasional Australian Broadcasting Corporation (ABC).

Roblox digunakan kira-kira 100 juta pengguna setiap hari di seluruh dunia, dengan hampir 40 peratus daripada pengguna pada 2024 terdiri daripada kanak-kanak bawah 13 tahun, menurut syarikat itu.

Namun, platform tersebut sekian lama berdepan kritikan kerana didakwa gagal melindungi kanak-kanak daripada kandungan ganas dan seksual. Laporan oleh Hindenburg Research pada 2024 menyifatkan Roblox sebagai persekitaran berbahaya yang mendedahkan kanak-kanak kepada aktiviti ‘grooming’ dan pornografi.

Wells turut memaklumkan beliau telah meminta pihak pengawal selia internet Australia, eSafety Commissioner, meneliti kemungkinan mengambil “langkah segera” terhadap syarikat berkenaan.

Tahun lalu, Roblox mengumumkan rancangan untuk mewajibkan penggunaan pengecaman wajah atau pengesahan identiti bagi pemain yang ingin mengakses ciri perbualan dalam aplikasi itu.

Dalam kenyataan kepada AFP, syarikat berpangkalan di California itu menyatakan kesediaan untuk memberi penerangan kepada menteri berkenaan langkah-langkah keselamatan yang dilaksanakan bagi melindungi komuniti penggunanya. Jurucakap Roblox menegaskan syarikat itu mempunyai dasar dan proses keselamatan yang kukuh, malah melangkaui beberapa platform lain.

Roblox sebelum ini tersenarai antara beberapa platform seperti Discord, WhatsApp dan Lego Play yang dikecualikan daripada larangan penyertaan media sosial bagi pengguna bawah 16 tahun di Australia. Larangan itu melibatkan platform seperti Facebook, Instagram dan TikTok, yang berkuat kuasa pada 10 Disember lalu.

Sementara itu, Roblox telah diharamkan di beberapa negara termasuk Qatar, Iraq dan Turkey, kebanyakannya atas faktor keselamatan kanak-kanak. Di Amerika Syarikat, negeri Texas dan Louisiana turut memfailkan saman terhadap aplikasi itu atas alasan yang sama.-AFP