
PUTRAJAYA, 9 Februari – Kategori barangan bagi program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) diperluas merangkumi makanan sejuk beku, selain barangan keperluan asas sedia ada.
- Kategori SARA diperluas termasuk makanan sejuk beku selain barangan keperluan sedia ada.
- Penyertaan kedai runcit kecil ditingkatkan sasar 10,000 premis menjelang akhir tahun.
- Jarak capaian kedai SARA dikurangkan kepada tujuh kilometer bagi memudahkan akses.
- SARA disalurkan secara individu dan dijangka meringankan kos sara hidup serta merancakkan perbelanjaan domestik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penyertaan kedai runcit kecil yang terlibat dengan program SARA juga dipertingkat sehingga mencapai 10,000 menjelang akhir tahun ini.
“Bermula hari ini, 9 Februari hingga 31 Disember 2026, 22 juta warganegara Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas akan menerima RM100 melalui MyKad dan ramai membangkitkan supaya kategori barangan diperluaskan.
“Jadi, sukacita diumumkan, kerajaan bersetuju meluaskan kategori barangan SARA merangkumi makanan sejuk beku,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Kementerian bersempena perhimpunan bulanan Kementerian Perpaduan Negara di sini, hari ini.
Datuk Seri Anwar berkata sebanyak RM15 bilion diperuntukkan untuk program SARA dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), tahun ini.
“Peruntukan itu bukan satu jumlah yang kecil, Tapi nak meringankan sebab apa? Kita tahu dengan perayaan Tahun Baharu Cina dan bulan ramadan. Kerajaan cuba sedaya upaya untuk meringankan beban. Kita nak beri banyak sangat sekalipun tidak boleh. Kita tidak mahu defisit,” katanya.
Selain itu, sebagai usaha meningkatkan akses rakyat, jarak capaian kedai SARA turut dikurangkan kepada lingkungan tujuh kilometer, berbanding 10 kilometer sebelum ini.
“Dulu ada masalah kerana kita boleh beli di kedai-kedai besar. Jadi banyak orang yang bangkitkan. Jadi sekarang ini kita gunakan 10,000 kedai runcit. Belilah dari 10,000 kedai runcit di seluruh negara. Dengan demikian kita boleh kembangkan kegiatannya secara menyeluruh ke peringkat yang serendah mungkin,”tambah beliau.
Perdana Menteri sekali lagi menegaskan bahawa bantuan tersebut diberikan secara individu dan bukannya berdasarkan isi rumah.
Pelaksanaan SARA Untuk Semua dijangka memberi kelegaan kos sara hidup dan merancakkan perbelanjaan domestik, khususnya di peringkat komuniti setempat.