Mexico hantar dua kapal bantuan kemanusiaan ke Cuba

Foto AFP

MEXICO CITY, 9 Feb – Mexico telah menghantar dua kapal membawa bantuan kemanusiaan ke Cuba dalam usaha mengurangkan tekanan hebat Amerika Syarikat susulan penangkapan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mexico hantar dua kapal membawa 814 tan bantuan makanan dan barangan kebersihan ke Cuba.
  • Kapal berlepas Ahad dan dijangka tiba dalam masa kira-kira empat hari.
  • Bekalan termasuk susu segar, tepung, daging, kacang, beras dan barangan kebersihan.
  • Ekonomi Cuba terjejas selepas bekalan minyak Venezuela dihentikan, lebih banyak bantuan menunggu penghantaran.

Menurut Kementerian Luar, penghantaran 814 tan bantuan itu dibuat ketika Mexico sedang berusaha untuk menghantar minyak ke Cuba tanpa dihukum Presiden Donald Trump, yang berikrar akan mengenakan hukuman tarif terhadap mana-mana negara yang menyalurkan petroleum ke Cuba.

Dua kapal tentera laut yang membawa bekalan ke Cuba berlepas pada Ahad dan dijangka tiba dalam masa empat hari.

Kapal tersebut membawa susu segar, tepung, daging, kacang, beras dan barangan kebersihan diri manakala 1,500 tan lagi bantuan makanan sedang menunggu untuk dihantar.

Ekonomi Cuba yang sudah bergelut semakin menderita kerana bekalan minyak dibekalkan sekutunya Venezuela telah dihentikan selepas serangan AS di Caracas pada 3 Januari lalu.

Tahun lalu, Mexico menghantar hampir AS$500 juta derivatif minyak dan petroleum ke Cuba, kurang daripada satu peratus daripada jumlah pengeluarannya, menurut syarikat milik kerajaan Pemex.

Trump telah menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan pemimpin sementara Delcy Rodriguez iaitu bekas naib presiden Maduro.

Trump juga akan memastikan pasukannya mematuhi garis panduan Washington, terutama dengan memberikan akses kepada sumber minyak Venezuela. – AFP