
BINTANGOR, 6 Februari – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) berusia 41 tahun dikhuatiri hilang selepas tidak pulang ke rumah sejak Khamis lalu di Batu 1, Jalan KJD, di sini.
- Operasi SAR dijalankan selepas laporan kehilangan, fokus di kebun sawit dalam radius kurang satu kilometer dari rumah.
- Seramai 16 anggota dari JBPM, PDRM dan RELA terlibat menggunakan teknik pencarian pantas.
- Pencarian dihentikan sementara dan disambung semula pada pukul 2 petang; orang ramai diminta memberikan maklumat.
Mangsa, Tang Teck Tuong, dilaporkan tidak pulang ke rumah sekitar pukul 8 malam pada 5 Februari selepas keluar bekerja di kebun sawit di belakang kediamannya. Usaha pencarian awal oleh ahli keluarga dan penduduk setempat bagaimanapun tidak membuahkan hasil sebelum laporan dibuat kepada pihak berkuasa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.45 pagi sebelum anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
Taklimat operasi kemudian diadakan bersama agensi terlibat dan penduduk setempat, dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengetuai penyelarasan awal, manakala Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bertindak sebagai peneraju operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Operasi SAR yang bermula pada pukul 10.35 pagi menumpukan pencarian di kawasan kebun sawit dalam radius kurang satu kilometer dari kediaman mangsa, dengan teknik pencarian pantas atau hasty search digunakan bagi mengesan sebarang petunjuk.
“Seramai 16 anggota daripada pelbagai agensi terlibat dalam operasi tersebut, terdiri daripada tiga anggota JBPM, lima anggota PDRM dan lapan anggota RELA.
“Bagaimanapun, sehingga tengah hari tadi, operasi pencarian masih belum menemukan sebarang petunjuk. Hasil perbincangan bersama semua agensi di lokasi, operasi pencarian dihentikan sementara dan dijadualkan disambung semula pada pukul 2 petang,” jelas Mahmudin menerusi satu kenyataan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mangsa diminta menghubungi pihak polis atau balai bomba berhampiran bagi membantu usaha pencarian.