
KUALA LUMPUR, 5 Februari– Radio Televisyen Malaysia (RTM) terus memperkasa pengisian rohani menjelang bulan Ramadan ini menerusi penerbitan dokumentari terbaharu berjudul ‘Nawaitu’.
- Dokumentari 15 episod memaparkan kisah inspirasi sebenar yang dekat dengan realiti masyarakat, menggunakan pendekatan berbeza dan unik.
- Tajuk 'Nawaitu' menekankan pentingnya niat sejajar dengan nilai dan tuntutan agama dalam setiap amalan.
- Mengangkat kisah seperti Projek Anak Didik dan gerakan sukarelawan NGO, dengan penerbitan oleh barisan penerbit muda UMD TV RTM.
Pengarah Program TV, Reza Shariman Othman berkata program terbitan Unit Majalah dan Dokumentari TV (UMD TV RTM), dengan 15 episod itu memaparkan kisah-kisah inspirasi daripada kehidupan sebenar yang dekat dengan realiti masyarakat.
Jelas Reza, pendekatan yang ditampilkan dalam penghasilan kandungan kali ini adalah berbeza dan unik berbanding apa yang biasa disiarkan sebelum ini, terutamanya yang berkait bulan Ramadan.
“RTM sentiasa mencari kaedah baru dalam penyampaian. Ini adalah penting dalam memastikan kandungan seperti dokumentari Islam atau siri Sinar Islam dapat difahami dengan mudah oleh pelbagai lapisan masyarakat,” katanya yang ditemui selepas sesi Pratonton Dokumentari “Nawaitu’, di sini.
Dalam pada itu, Penolong Pengarah Unit Majalah dan Dokumentari, Hisyamudin Ahmad berkata sesuai dengan tajuk ‘Nawaitu’, menegaskan bahawa niat yang baik tidak menghalalkan cara, sebaliknya setiap amalan perlu selari dengan nilai dan tuntutan agama.
” ‘Nawaitu’ dipilih disebabkan oleh niatlah dalam setiap perilaku dan apa-apa perkara yang kita buat kita bermula dengan niat, setiap niat yang baik itu maka baiklah hasilnya dan jika disalah tafsir akan membawa kesan buruk” katanya.
Tambahnya, setiap episod mempunyai keistimewaan dan setiap kandungan juga telah ditapis dan turut mengangkat kisah-kisah mistik yang menepati kriteria kualiti yang sesuai dengan selera penontonan masa kini
Antara pengisian menarik dalam dokumentari ini termasuklah kisah ‘Iqra’ yang memaparkan Projek Anak Didik, di mana pendidikan diterjemahkan melampaui ruang kelas melalui bimbingan sukarelawan yang penuh empati terhadap golongan memerlukan.
Bagi penerbit, Mohamad Izwan Talhah berharap agar dokumentari itu boleh diketengahkah kepada masyarakat dengan mesej yang baik.
“Saya memilih tajuk ini juga kerana terdorong untuk membuka mata masyarakat, supaya mereka boleh melihat dan memahami peranan badan bukan kerajaan (NGO) kepada umum membuat gerakan sukarelawan yang memberi manfaat kepada orang ramai,” ujarnya.
Penerbitan kali ini mendapat sentuhan barisan penerbit muda UMD TV RTM iaitu Mohd Nazree Mohamed, Nazatul Fareena Sheikh Rosli, Rozihan Mohd Raji dan Mohd Izwan Talhah.
‘Nawaitu’ akan menemui penonton setiap hari bermula 19 Februari ini, pada pukul 6.00 petang di TV1 dan RTMKLIK.