
PETALING JAYA, 5 Februari – Selangor FC mengesahkan kemaraan ke peringkat separuh akhir Kejuaraan Kelab ASEAN 2025/2026 walaupun terikat 1-1 menentang wakil Thailand, BG Pathum United pada aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), pada Rabu.
- Selangor FC mara ke separuh akhir Kejuaraan Kelab ASEAN 2025/2026 walaupun seri 1-1 dengan BG Pathum United.
- Selangor tamat kumpulan di kedudukan kedua dengan sembilan mata, berkongsi mata dengan Buriram United.
- Alvin Fortes dilayangkan kad merah pada minit ke-26 sekali gus bermain dengan 10 pemain.
- Mohamad Faisal Abdul Halim golkan pembukaan; Kalamullah Al-Hafiz tampil cemerlang menafikan cubaan lawan.
Satu mata yang diraih itu membolehkan skuad Gergasi Merah menamatkan saingan kumpulan di kedudukan kedua dengan sembilan mata, berkongsi mata dengan juara bertahan Buriram United yang muncul juara kumpulan berdasarkan kelebihan perbezaan jaringan.
Perlawanan berlangsung dalam tempo tinggi sebelum Selangor berdepan ujian getir apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain seawal minit ke-26 selepas pemain tengah import, Alvin Fortes dilayangkan kad merah kerana mengasari Kritsada Kaman.
Bagaimanapun, situasi itu tidak mematahkan semangat tuan rumah apabila ketua pasukan, Mohamad Faisal Abdul Halim meledak gol pembukaan pada minit ke-36 menerusi rembatan kencang dari dalam kotak penalti selepas memperdaya dua pemain pertahanan lawan.
BG Pathum United kemudiannya menyamakan kedudukan pada minit ke-64 apabila hantaran silang Waris Choolthong dari sebelah kanan tertolak masuk ke gawang sendiri oleh pemain pertahanan Selangor, Richmond Ankrah.
Selangor yang dikendalikan bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon hampir dibolosi buat kali kedua pada minit ke-77, namun penjaga gol Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi mempamerkan aksi cemerlang apabila menafikan tandukan kencang penyerang BG Pathum United, Ikhsan Fandi Ahmad.
Keputusan 1-1 kekal sehingga wisel penamat, sekali gus menyaksikan BG Pathum United tersingkir selepas menamatkan saingan kumpulan di kedudukan ketiga dengan lapan mata.