SPG sukarela bantu kelangsungan program Wakaf al-Quran

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 2 Febuari – Skim Potongan Gaji (SPG) secara sukarela membabitkan kakitangan kerajaan, badan berkanun dan sektor swasta wajar dilaksana sebagai langkah strategik memastikan kelangsungan serta peluasan Program Wakaf al-Quran di negara ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • SPG sukarela bagi kakitangan kerajaan, badan berkanun dan swasta dicadangkan untuk memastikan kelangsungan Wakaf al-Quran.
  • Pengumpulan wakaf perlu inklusif, mudah dan diyakini untuk menarik penyertaan luas dari semua lapisan masyarakat.
  • Kerjasama dengan ANGKASA dan usaha terjemahan ke 30 bahasa untuk edar ke negara minoriti umat Islam.
  • Pempengaruh media sosial digalakkan mengajak sumbangan, terutama menjelang Ramadan, untuk memperluas pengedaran mushaf.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bekata, mekanisme kutipan wakaf perlu dirangka secara inklusif, mudah dan diyakini bagi membuka ruang penyertaan lebih luas merangkumi semua lapisan masyarakat.

“Sumbangan kecil dibuat secara konsisten melalui SPG berupaya menghasilkan impak besar dalam jangka panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Wakaf Al-Quran Ke-19 Peringkat Kebangsaan 2026 di Nasyrul Quran di sini, hari ini.

Datuk Seri Ahmad Zahid yang juga Penaung Yayasan Restu turut meminta supaya ahli koperasi di seluruh negara menyalurkan sumbangan melalui ANGKASA bagi memperbanyakkan wakaf al-Quran, selaras dengan sasaran memperluas pengedaran mushaf ke peringkat antarabangsa.

Jelasnya, program Wakaf al-Quran bukan sekadar tertumpu kepada penghasilan mushaf, malah merangkumi usaha menterjemahkan al-Quran ke dalam 30 bahasa bagi diedarkan ke negara yang mempunyai populasi umat Islam minoriti.

“Pengedaran al-Quran ini akan dihantar ke negara-negara yang umat Islamnya berada dalam kelompok minoriti, supaya mereka turut mendapat akses kepada mushaf al-Quran yang sempurna,” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Seri Ahmad Zahid menyeru pempengaruh media sosial menggunakan pengaruh masing-masing untuk mengajak pengikut menyumbang sekurang-kurangnya satu mushaf al-Quran sebagai wakaf.

Katanya, sumbangan itu bukan sahaja menyumbang kepada penyebaran al-Quran, malah diyakini membawa keberkatan kepada penyumbang.

Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan kolaborasi strategik antara Nasyrul Quran, Yayasan Restu serta pempengaruh termasuk pencipta kandungan di platform media sosial seperti TikTok agar memanfaatkan dunia tanpa sempadan dan sistem komunikasi digital yang semakin terbuka.

“Gunakanlah peluang ini, lebih-lebih lagi menjelang Ramadan, untuk mengajak masyarakat menyumbang wakaf al-Quran.

“Walaupun secara tidak langsung, ia mampu memberi impak besar kepada kelangsungan program ini,” katanya.