
PUTRAJAYA, 3 Februari – Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) membuka akses kerjasama lebih menyeluruh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memperkukuh integriti pentadbiran.
- JWP membuka akses kerjasama menyeluruh dengan SPRM untuk memperkukuh integriti pentadbiran.
- Nota kerjasama melibatkan enam agensi di bawah JWP untuk perkongsian maklumat dan kepakaran pengesanan salah laku.
- Empat langkah integriti termasuk pusingan kerja lebih kerap, perolehan dalam talian, dan penggunaan kamera badan.
- Penilaian semula penarafan risiko Pejabat Pengarah Tanah membolehkan penempatan pegawai SPRM di unit integriti.
Langkah itu memastikan sistem pentadbiran sentiasa tertakluk kepada semakan, pemantauan dan penambahbaikan berterusan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, JWP mengambil pendirian tegas bahawa rasuah dan salah guna kuasa tidak mempunyai tempat dalam pentadbiran Wilayah Persekutuan.
“Langkah awal ialah memeterai nota kerjasama dengan SPRM melibatkan enam agensi di bawah JWP iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Perbadanan Putrajaya, Perbadanan Labuan, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, Perbadanan Pembangunan Kampung Bharu serta Majlis Sukan Wilayah Persekutuan.
“Ia meliputi perkongsian maklumat, kepakaran dalam pengesan dan pengesahan aduan atau salah laku, di samping penyaluran maklumat secara konsisten berkaitan jenayah rasuah,” katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Nota Kerjasama antara JWP dan SPRM di sini, hari ini.
Hannah berkata, empat langkah utama dikenal pasti bagi memperkukuh integriti dan ketelusan agensi di bawah JWP.
“Antaranya pelaksanaan pusingan kerja pegawai secara lebih kerap, penambahbaikan pengurusan perolehan melalui sistem sebut harga dan tender sepenuhnya dalam talian serta penggunaan kamera badan anggota penguat kuasa secara berperingkat mulai suku keempat 2026.
“Penarafan risiko Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan juga akan dinilai semula bagi membolehkan pegawai SPRM ditempatkan di unit integriti,” katanya.
Langkah itu bertujuan meningkatkan keyakinan rakyat, selain membuka ruang kerjasama awal dengan SPRM bagi memberi pandangan dan cadangan penambahbaikan.