Pelabur asing kekal pembeli bersih minggu keempat berturut-turut

Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR, 3 Februari – Pelabur asing kekal sebagai pembeli bersih untuk minggu keempat berturut-turut, namun merekodkan aliran masuk bersih lebih rendah kepada RM12.8 juta minggu lalu berbanding RM510.9 juta pada minggu sebelumnya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelabur asing kekal pembeli bersih untuk minggu keempat berturut-turut walaupun aliran masuk susut kepada RM12.8 juta.
  • Tiga sektor utama menerima aliran masuk asing: telekomunikasi dan media, produk perindustrian serta teknologi.
  • Perkhidmatan kewangan, utiliti dan perladangan mengalami aliran keluar asing bersih yang ketara.
  • Institusi tempatan merekodkan belian bersih manakala pelabur runcit tempatan terus menjadi penjual bersih.

MBSB Investment Bank Bhd berkata, pelabur asing mencatatkan belian bersih untuk tiga hari dagangan, dengan aliran masuk terbesar direkodkan pada Isnin berjumlah RM135.3 juta.

”Tiga sektor utama yang mencatatkan aliran masuk asing bersih ialah telekomunikasi dan media (RM16.6 juta), produk dan perkhidmatan perindustrian (RM14.8 juta) serta teknologi (RM8.1 juta).

”Sementara itu, tiga sektor utama yang merekodkan aliran keluar asing bersih ialah perkhidmatan kewangan (RM482.8 juta), utiliti (RM258.2 juta) dan perladangan (RM75.9 juta),” jelas MBSB dalam laporan aliran dana bagi minggu berakhir 30 Januari 2026.

Mengulas lanjut, institusi tempatan turut meneruskan trend belian bersih untuk minggu kedua berturut-turut dengan aliran masuk bersih berjumlah RM532.3 juta.

Sebaliknya, pelabur runcit tempatan kekal sebagai penjual bersih untuk minggu kesembilan berturut-turut, dengan aliran keluar bersih sebanyak RM545.1 juta.

Jumlah dagangan harian purata (ADTV) mencatatkan peningkatan menyeluruh, masing-masing melonjak 4.0 peratus bagi pelabur runcit tempatan, 25.7 peratus bagi institusi tempatan dan 50.8 peratus bagi pelabur asing.

”Di peringkat serantau, pelabur asing di lapan pasaran Asia meneruskan jualan bersih untuk minggu kedua berturut-turut dengan aliran keluar asing bersih berjumlah AS$1.48 bilion, didorong terutamanya oleh Korea Selatan, Indonesia, India dan Vietnam.

”Bagaimanapun, semua pasaran lain yang dipantau mencatatkan aliran masuk asing bersih, diterajui Taiwan, Filipina, Thailand dan Malaysia,” tambahnya.