Ademola Lookman sertai Atletico Madrid

pemain antarabangsa Nigeria, Ademola Lookman/REUTERS

MADRID, 2 Februari – Kelab La Liga, Atletico Madrid mengesahkan telah mencapai persetujuan dengan kelab Serie A, Atalanta, untuk mendapatkan khidmat pemain antarabangsa Nigeria, Ademola Lookman, menurut kenyataan kelab itu pada Ahad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Atletico Madrid mengesahkan persetujuan dengan Atalanta untuk mendapatkan Ademola Lookman dan dia kini menjalani pemeriksaan perubatan di Madrid.
  • Lookman muncul sebagai penyerang digeruni di Eropah, menjaringkan 55 gol dalam semua pertandingan sebelum berpindah ke Atletico.
  • Pencapaian penting termasuk hatrik pada final Liga Europa 2024, menjadikannya pemain keenam bersejarah melakukan itu dalam perlawanan akhir kelab Eropah.

Dalam satu kenyataan di laman rasmi kelab, Atletico memaklumkan pemain berusia 28 tahun itu kini berada di Madrid bagi menjalani pemeriksaan perubatan serta memuktamadkan kontrak baharunya.

Atletico tidak mendedahkan butiran yuran perpindahan atau tempoh kontrak, namun media Sepanyol melaporkan kelab itu membayar sekitar €35 juta bagi mendapatkan penyerang berkenaan.

Dilahirkan di London, Lookman memulakan karier profesionalnya bersama Charlton Athletic pada 2015 sebelum menyertai Everton dua tahun kemudian.

Meskipun menjaringkan gol pada penampilan sulungnya di Liga Perdana Inggeris, beliau sukar mendapat tempat dalam kesebelasan utama pasukan.

Lookman kemudiannya dipinjamkan ke RB Leipzig pada 2018.

Perpindahan Ademola Lookman ke Atletico Madrid bakal mempertajamkan jentera serangan kelab berkenaan hadapi La Liga/REUTERS

Prestasi baik yang dipamerkan di Jerman membawa kepada perpindahan tetap bernilai £22.5 juta pound ke Leipzig pada 2019.

Namun, peluang Lookman untuk beraksi secara konsisten masih terhad.

Situasi itu sekali lagi menyebabkannya dipinjamkan ke Fulham dan Leicester City sebelum membuat berpindah ke Serie A bersama Atalanta.

Langkah tersebut berjaya menjadikannya sebagai penyerang digeruni di Eropah.

Lookman tampil menyerlah dengan 55 gol  dalam semua pertandingan.

Kemuncak prestasinya hadir pada 2024 apabila beliau meledak hatrik untuk membantu Atalanta menewaskan Bayer Leverkusen pada perlawanan akhir Liga Europa.

Hatrik itu juga menyaksikan Lookman menjadi pemain keenam dalam sejarah yang menjaringkan tiga gol dalam perlawanan akhir kelab Eropah, dan yang pertama sejak 1975.

Di bawah kendalian Diego Simeone, Lookman dijangka menjadi antara tonggak utama bagi memperkukuh jentera serangan Atletico.

Ketika ini, Atletico Madrid berada di kedudukan ketiga LaLiga dengan 45 mata, ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu liga, Barcelona. – REUTERS

 

Majlis Konvokesyen INFRA rai, tauliah 179 graduan

Artikel Tajaan

TEMAN TEKUN Sabah salur RM25.17 juta sepanjang 2025, perkasa usahawan tempatan

Artikel Tajaan