
JOHOR BAHRU, 31 Januari – Sebanyak 3,164 sekolah di seluruh negara diklasifikasikan sebagai sekolah kurang murid (SKM), iaitu sekolah yang mempunyai kurang daripada 150 pelajar, setakat November tahun lalu.
- Kementerian merekod 3,164 sekolah kurang murid di seluruh negara sehingga November lalu.
- Tiada perancangan penutupan; kerajaan akan pelihara legasi dan keterangkuman setiap sekolah.
- Bagi sekolah sangat kecil, KPM akan runding penyelesaian bersama pihak sekolah.
Jumlah itu merangkumi Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, KPM akan terus memberi perhatian terhadap sekolah-sekolah berkenaan bagi memastikan kelangsungan akses pendidikan kepada komuniti setempat.
Menurut beliau, setakat ini tiada perancangan untuk menutup mana-mana Sekolah Kurang Murid demi menjamin kelancaran serta keterangkuman sistem pendidikan negara.
“Tidak kira sama ada Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina atau Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, setiap sekolah mempunyai legasi, sejarah serta sentimen komuniti tersendiri yang akan terus dipelihara oleh Kerajaan MADANI.
Namun, bagi sekolah yang mempunyai jumlah murid terlalu kecil, termasuk kurang daripada lima atau 10 orang, kementerian akan mencari jalan penyelesaian melalui persetujuan bersama pihak sekolah,” katanya.
Beliau ditemui semasa Majlis Pecah Tanah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Central Site Johor (SJKC Central Site Johor) di tapak sekolah bersebelahan Pusat Komuniti Taman Ekoflora, Persiaran Ekoflora, di sini.