AS hantar sebuah lagi kapal perang ke Asia Barat

FOTO REUTERS

ISTANBUL, 30 Januari – Amerika Syarikat (AS) telah menghantar sebuah lagi kapal perang ke Asia Barat selepas Presiden Donald Trump menyatakan bahawa satu “armada besar” sedang bergerak menuju ke Iran, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik CBS pada Khamis.

RINGKASAN BERITA AI
  • AS menghantar kapal pemusnah USS Delbert D. Black ke Asia Barat sebagai pengukuhan tentera.
  • Pendirian AS termasuk pengerahan armada dan aset ketenteraan lain di bawah CENTCOM.
  • Pentagon mengerahkan kumpulan serangan, skuadron pejuang dan bateri pertahanan peluru berpandu.
  • AS sedia guna semua pilihan untuk halang Iran capai senjata nuklear, namun tetap buka ruang diplomasi.

Rangkaian televisyen itu mengenal pasti kapal perang berkenaan sebagai USS Delbert D. Black, sebuah kapal pemusnah peluru berpandu Aegis kelas Arleigh Burke.

Menurut CBS, kapal-kapal AS lain yang kini berada dalam kawasan tanggungjawab Markas Pemerintah Pusat AS (CENTCOM), termasuk kapal pengangkut pesawat USS Abraham Lincoln, kapal pemusnah USS Spruance, USS Murphy, USS Frank E. Petersen, USS McFaul dan USS Mitscher, serta kapal tempur pesisir USS Canberra, USS Tulsa dan USS Santa Barbara.

Pentagon kini sedang giat mengerahkan kumpulan serangan kapal pengangkut pesawat, skuadron jet pejuang canggih serta bateri pertahanan peluru berpandu dalam perubahan ketara terhadap postur ketenteraan serantau, di tengah-tengah ketegangan yang memuncak dengan Tehran.

Terdahulu pada Khamis, Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth berkata AS bersedia menggunakan “semua pilihan” bagi menghalang Iran daripada meneruskan usaha memperoleh senjata nuklear, sambil menegaskan bahawa Washington masih memberi ruang kepada penyelesaian diplomatik. -BERNAMA-ANADOLU

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan