Piala Shopee: JDT semakin hampir ke separuh akhir, tewaskan Shan United 3-0

Pemain JDT, Oscar Pasero Arribas (dua, kanan) dikawal ketat pemain Shan United, Mark Sekyi (kanan) pada Kejohanan Kelab ASEAN Piala Shopee/ BERNAMA

ISKANDAR PUTERI, 29 Januari – Johor Darul Takzim (JDT) semakin hampir layak ke pusingan separuh akhir Kejohanan Kelab ASEAN Piala Shopee selepas merekodkan kemenangan 3-0 ke atas wakil Myanmar, Shan United di Stadium Sultan Ibrahim, petang tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • JDT membolosi kedudukan pada minit ke-65 melalui tandukan Oscar Arribas selepas sepakan sudut Yago Da Silva.
  • Bergson Da Silva menjaringkan dua gol pantas untuk mengesahkan kemenangan 3-0 bagi JDT.
  • JDT kini mengumpul 10 mata dan fokus kepada perlawanan penting menentang Nam Dinh pada 5 Februari.

Keputusan itu membolehkan JDT mengutip 10 mata selepas empat perlawanan.

Separuh masa pertama menyaksikan Shan United berjaya mengekang asakan tuan rumah dan memastikan gawang mereka tidak dibolosi.

Hanya pada minit-65, JDT berjaya memecah kebuntuan untuk menghasilkan gol pertama melalui tandukan Oscar Arribas selepas sepakan sudut yang diambil pemain baharu, Yago Da Silva.

Selang seminit penyerang gantian, Bergson Da Silva yang menerima hantaran Joao Figueredo merembat masuk gol kedua menewaskan Kyaw Zin Phyo.

Bergson sekali lagi mencetak nama selaku penjaring pada minit ke-70, untuk memastikan tiga mata berharga buat Harimau Selatan.

Ketua Jurulatih, Xisco Munoz mengakui pasukannya berdepan kesukaran pada separuh masa pertama sebelum pertukaran pemain berjaya mengubah rentak permainan.

“Kami perlu perbaiki lagi ketika membuat serangan, kerana perlu untuk sentiasa mantap semasa menyerang. Pada separuh masa kedua, kami berjaya meningkatkan serangan dan mempertajamkan penyudah. Sangat penting untuk JDT memperoleh tiga mata dan seterusnya memberi tumpuan kepada perlawanan akan datang,” jelas beliau.

“Pada separuh masa pertama kami bermain dengan baik tetapi selepas bersambung babak kedua, JDT bermain dengan berbeza. Akhirnya gol kami bolos dan kami tewas,” kata ketua jurulatih Shan United, Han Win Aung.

JDT kini dengan 10 mata dan bakal berdepan pendahulu kumpulan B, kelab Vietnam, Nam Dinh pada 5 Februari nanti.

Sementara Shan United masih gagal mengutip sebarang mata selepas empat perlawanan.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan