Nasib FAM, tujuh pemain warisan ditentukan CAS akhir Februari

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman ketika sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Khas Jawatankuasa Eksekutif FAM di Wisma FAM, hari ini/ BERNAMA

PETALING JAYA, 28 Januari – Nasib tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang terpalit dengan isu pemalsuan dokumen dijangka diketahui pada hujung bulan depan apabila Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menetapkan tarikh persidangan rayuan kes berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • CAS tetapkan tarikh persidangan rayuan pada 25 atau 26 Februari bagi kes tujuh pemain warisan.
  • FAM terima surat makluman daripada CAS mengenai prosiding tersebut.
  • Perintah Penangguhan Pelaksanaan CAS benarkan pemain kembali berlatih dengan kelab masing-masing.
  • Keputusan sementara itu beri kelegaan selepas larangan bermain lebih empat bulan oleh FIFA.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman mengesahkan pihaknya menerima surat makluman daripada CAS pada Isnin lalu berhubung tarikh prosiding tersebut.

Menurut beliau, persidangan rayuan itu dijadualkan berlangsung sama ada pada 25 atau 26 Februari depan.

“Persidangan CAS membabitkan kes FAM dan pemain warisan Harimau Malaya akan berlangsung pada 25 atau 26 Februari,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa FAM di Wisma FAM, di sini hari ini.

Terdahulu, CAS telah mengeluarkan perintah Penangguhan Pelaksanaan (Stay of Execution) terhadap keputusan terdahulu FIFA, sekali gus membolehkan ketujuh-tujuh pemain terbabit kembali menjalani latihan bersama kelab masing-masing.

Pemain berkenaan ialah Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Keputusan tersebut memberikan kelegaan kepada pemain dan peminat bola sepak negara selepas mereka tidak dibenarkan beraksi selama lebih empat bulan susulan keputusan rasmi FIFA yang diumumkan pada penghujung September lalu.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan