Buakaw bakal gegar Malaysia

Foto FB Banchamek Gym

KUALA LUMPUR, 24 Januari – Ikon Muay Thai dunia, Buakaw Banchamek bakal menjadi tarikan utama apabila dijadual beraksi pada Kejohanan Muay Thai T-Fight All-Stars 2026 di Kuala Lumpur, Malaysia pada April ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Buakaw Banchamek akan beraksi dalam T-Fight All-Stars 2026 di Kuala Lumpur pada April, meningkatkan profil acara.
  • Penganjur mahu jenamakan semula T-Fight sebagai platform sukan tempur tempatan ke standard antarabangsa.
  • Kejohanan menampilkan tujuh perlawanan antarabangsa; Buakaw berdepan petarung Beijing, Meng Gaofeng, dalam perlawanan utama.

Pengasas T-Fight, Shamsueffendi Mohammad memaklumkan penampilan Buakaw di pentas kejohanan itu adalah hasil perancangan bertahun-tahun selain dianggap satu impian yang berjaya direalisasikan walaupun berdepan kekangan fasiliti dan kapasiti stadium.

Katanya, kemunculan legenda Muay Thai itu sekali gus dapat mengangkat penganjuran tersebut ke tahap lebih tinggi di peringkat antarabangsa.

“Kenapa Buakaw? Dunia tahu Buakaw ikon sukan Muay Thai. Semua orang mahu pelawa Buakaw, cuma kali ini rezeki kita. Kita cuba realisasikan impian menjadi satu kenyataan,” katanya.

Menurut beliau, penganjuran T-Fight All-Stars 2026 bukan sekadar menampilkan nama besar, sebaliknya bertujuan menjenamakan semula T-Fight sebagai platform sukan tempur tempatan yang dibangunkan secara berperingkat ke standard lebih tinggi.

Tambahnya, kekangan kapasiti stadium menyebabkan pihak penganjur memaksimumkan penggunaan kemudahan sedia ada, selain mempertimbangkan penyiaran menerusi televisyen bayar-per-tonton (pay-per-view) bagi memberi peluang kepada peminat yang tidak memperoleh tiket.

Secara keseluruhan, kejohanan berkenaan akan menampilkan tujuh perlawanan membabitkan atlet dari Malaysia, Thailand, China, Indonesia, Kemboja, Uganda dan Maghribi, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai kejohanan Muay Thai bertaraf antarabangsa.

Bagi perlawanan utama, Buakaw dijadualkan berdepan petarung dari Beijing, Meng Gaofeng, 28 tahun yang memiliki rekod profesional 45 perlawanan dengan 33 kemenangan, termasuk sembilan KO, selain pernah merangkul gelaran Juara Wu Lin Feng China 2020, WLF World Champion dan IPCC China Champion.

Penganjuran ini turut dilihat sebagai platform pendedahan kepada peninju tempatan untuk diketengahkan ke pentas antarabangsa, memandangkan kehadiran Buakaw dijangka menarik perhatian media dan promotor luar negara.