
KULAI, 22 Januari – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor berjaya membongkar aktiviti penyelewengan minyak diesel membabitkan rampasan bernilai RM300,000 dalam satu operasi di sebuah premis kilang di Kulai, Johor, semalam.
- Operasi risikan jumpa trak tangki diubah suai dan beberapa skid tank untuk pengumpulan diesel secara berlebihan.
- Transaksi pembelian mencurigakan dikesan, tindakan penguatkuasaan turut diambil terhadap stesen minyak yang disyaki terlibat.
- Siasatan berjalan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, dengan rampasan peralatan dan kenderaan berkaitan.
Serbuan hasil risikan itu menemukan dua skid tank berisi minyak diesel, satu skid tank kosong serta sebuah lori tangki yang dipercayai telah diubah suai bagi tujuan pengumpulan diesel secara berlebihan.
Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo, berkata siasatan awal mendapati sindiket berkenaan menggunakan modus operandi mengubah suai tangki lori bagi membolehkan pembelian diesel dibuat secara berulang kali di sebuah stesen minyak berhampiran.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut turut mengesan transaksi pembelian yang mencurigakan melibatkan lori berkenaan, menyebabkan tindakan penguatkuasaan turut diambil ke atas stesen minyak yang disyaki terlibat.
Menurut beliau, rampasan dianggarkan melibatkan 32,000 liter minyak diesel, sebuah lori, tiga skid tank serta peralatan berkaitan, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM300,000.
Kes berkenaan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.