JAIS siasat akaun Facebook masjid di Rawang didakwa papar kandungan politik

FOTO HIASAN

SHAH ALAM, 21 Januari – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sedang menjalankan siasatan terhadap pengendali akaun Facebook sebuah masjid di Rawang susulan dakwaan kandungan media sosial rasmi rumah ibadat itu mempunyai unsur parti politik.

RINGKASAN BERITA AI
  • JAIS menyiasat akaun Facebook sebuah masjid di Rawang kerana dakwaan memaparkan kandungan berkaitan parti politik.
  • Tindakan tersebut bertentangan dengan titah Sultan Selangor agar masjid dan surau kekal bebas daripada pengaruh politik.
  • Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 12(a) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 dan Peraturan-Peraturan Masjid dan Surau 2017.
  • JAIS dan MAIS digesa bertindak tegas untuk menjaga masjid sebagai institusi berkecuali dan pemupukan perpaduan umat.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, menerusi satu kenyataan memaklumkan, perkara tersebut bertentangan dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menegaskan agar semua masjid dan surau di negeri itu kekal bebas daripada pengaruh politik kepartian.

Menurut beliau, pendirian Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan JAIS berhubung perkara berkenaan adalah selaras dengan titah Sultan Selangor yang mahu masjid dan surau tidak terlibat, cenderung atau mencetuskan sebarang perkara yang boleh membawa kepada perbalahan serta perpecahan dalam kalangan umat Islam.

“Baginda menitahkan supaya MAIS dan JAIS bertindak tegas bagi memastikan masjid dan surau di Selangor terus kekal sebagai institusi berkecuali, menjadi zon aman dan tenang untuk beribadah dan beraktiviti, serta berperanan sebagai pusat dan nadi kekuatan umat Islam,” katanya .

Tambah beliau, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 12(a) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 serta Peraturan-Peraturan Masjid dan Surau (Negeri Selangor) 2017 yang memperuntukkan hukuman denda atau penjara, selain tindakan pemecatan daripada jawatan sebagai ahli pengurusan masjid jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Datuk Mohd Shahzihan turut menyeru umat Islam agar terus memperkukuh perpaduan dengan menjadikan masjid dan surau sebagai pusat penyatuan dan kesepakatan umat di peringkat kariah.

Beliau menegaskan perbezaan pandangan seharusnya menjadi ruang untuk menambah nilai ilmu dan amal ibadat, bukan mencetuskan perpecahan yang menolak asas agama, mengetepikan adab serta menyemai perasaan hasad, kebencian dan sikap ekstrem.