Ribut Harry akibatkan banjir, jejas operasi persekolahan di Sepanyol

Foto REUTERS

BARCELONA, 21 Januari– Ribut Harry membawa hujan lebat berterusan ke utara wilayah Catalonia, Sepanyol pada Selasa, dengan wilayah Girona paling teruk terjejas susulan banjir serius di kawasan Palau-Sator.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi mencari disusun semula dan digantung sementara kerana cuaca buruk, menjejaskan usaha menyelamat.
  • Paras Sungai Onyar meningkat hampir mencapai kediaman, menimbulkan kebimbangan penduduk tempatan.
  • Semua sekolah dan aktiviti sukan dibatalkan sebagai langkah berjaga-jaga terhadap risiko banjir.
  • Pihak berkuasa menggesa penduduk tinggal di rumah dan elakkan perjalanan tidak perlu untuk keselamatan.

Pasukan bomba Catalonia sedang menjalankan operasi mencari seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika memandu di kawasan Palau-Sator.

Namun, operasi tersebut terpaksa digantung sementara berikutan keadaan cuaca buruk.

Di bandar Girona, paras Sungai Onyar meningkat hampir mencecah kediaman berhampiran, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk, walaupun pihak berkuasa memaklumkan air berkemungkinan tidak memasuki rumah.

Perkhidmatan kecemasan memaklumkan semua sekolah serta aktiviti sukan dibatalkan pada Selasa sebagai langkah berjaga-jaga susulan risiko banjir.

Pihak Perlindungan Awam pula menggesa penduduk supaya kekal berada di rumah dan mengelakkan sebarang perjalanan yang tidak perlu bagi mengurangkan risiko kejadian tidak diingini.

Sementara itu, di pesisir pantai Barcelona, bendera merah dinaikkan sebagai amaran bahaya apabila Laut Mediterranean bergelora kuat dan membadai kawasan pantai. -REUTERS