Polis wanita, adik direman kes rasuah lepaskan suspek dadah

Foto fail

KUANTAN, 20 Januari -Seorang pegawai polis wanita berpangkat Inspektor bersama adik lelakinya direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM30,000.

RINGKASAN BERITA AI
  • Inspektor polis wanita dan adiknya direman SPRM Pahang berhubung dakwaan rasuah berkaitan kes narkotik.
  • Suapan dipercayai diterima antara 2021 hingga 2025 sebagai balasan melepaskan suspek dadah.
  • Wang rasuah dilaporkan antara RM1,000 hingga RM7,000 sebulan dimasukkan ke akaun adik lelaki.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009; penahanan disahkan Pengarah SPRM Pahang.

Suapan itu dipercayai sebagai balasan untuk melepaskan individu yang terlibat dalam kes jenayah narkotik.

Perintah reman selama lima hari sehingga 24 Januari dikeluarkan Majistret Mohd Fauzan Mohd Suhari selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuantan, pagi tadi.

Menurut sumber, kedua-dua suspek berusia lingkungan 20 dan 30-an ditahan semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Negeri Pahang.

Suspek wanita ditahan kira-kira pukul 4.30 petang, manakala adik lelakinya ditahan sekitar pukul 9 malam.

Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan itu antara tahun 2021 hingga 2025.

Mereka dipercayai menerima wang rasuah antara RM1,000 hingga RM7,000 setiap bulan yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi milik suspek lelaki.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud mengesahkan penahanan berkenaan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan