
KARACHI, 19 Januari – Sekurang-kurangnya 21 orang terbunuh, manakala puluhan yang lain hilang dalam insiden kebakaran pusat beli-belah Gul Plaza di sini, pada malam Sabtu lalu.
- 21 orang terbunuh dan puluhan lagi hilang selepas kebakaran besar di pusat beli-belah Gul Plaza.
- Operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan; sekurang-kurangnya 30 cedera dan satu penyelamat terbunuh.
- Punca kebakaran disiasat, dengan kritikan bahawa tindakan menyelamat lewat dan kebakaran kerap berlaku kerana infrastruktur lemah.
Jurucakap perkhidmatan kecemasan Rescue 1122 Sindh, Hassan Khan, berkata operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan.
Antara yang terkorban adalah seorang penyelamat berusia 25 tahun, manakala sekurang-kurangnya 30 individu cedera dimasukkan ke hospital.
Polis daerah selatan Karachi Syed Asad Raza berkata, senarai kehilangan mencatatkan 60 orang.
Punca kebakaran masih disiasat oleh jawatankuasa kerajaan.
Pusat beli-belah tiga tingkat itu menempatkan lebih 1,200 kedai dan terkenal dengan barangan perkahwinan serta perhiasan rumah.
Dalam pada itu, peniaga dan keluarga mangsa mengkritik pihak berkuasa kerana lambat melakukan operasi menyelamat.
Kebakaran kerap berlaku di pasar dan kilang di Karachi akibat infrastruktur yang serba kekurangan.-AFP