
PADANG TERAP, 17 Januari – Golongan penoreh getah dan petani di Kedah menyifatkan Program Jualan Rahmah MADANI Bergerak merupakan inisiatif dalam membantu meringankan beban menghadapi kos sara hidup harian.
- Program Jualan Rahmah MADANI Bergerak membantu meringankan kos sara hidup penoreh getah dan petani dengan barang keperluan lebih murah.
- Pelaksanaan di kawasan pedalaman memastikan akses bekalan asas lebih mudah bagi komuniti luar bandar.
- Inisiatif KPDN menawarkan diskaun 10 hingga 30 peratus melalui lori bergerak, sesuai jelang musim sukar dan bulan puasa.
Program seumpama itu di kawasan pedalaman perlu diperbanyak bagi memastikan bekalan keperluan asas lebih mudah diakses, khususnya oleh komuniti di kawasan luar bandar.
Golongan penoreh getah di kawasan Padang Terap menyifatkan program itu sebagai inisiatif yang sangat membantu dalam meringankan beban kehidupan harian mereka.
“Kira bagus kerajaan bantu penoreh. Ketika ini musim daun luruh, jadi getah tak keluar. Hasil penoreh pun kurang,” katanya ketika ditemui RTM.
Sementara itu Ruhani Ahmad berkata, program berkenaan dapat meringankan kos sara hidup penduduk kampung.
“Terima kasih kepada kerajaan, dengan Jualan Rahmah beban rakyat di kampung ini ringan sedikit. Barang-barang keperluan asas kita boleh dapatkan pada harga murah jadi ia menjimatkan kos perbelanjaan,” katanya.
Bagi Yazah Saad, menambah program itu dinantikan masyarakat setempat kerana manfaatnya sangat dirasai oleh penoreh getah dan pesawah padi.
“Program ini sedikit sebanyak membantu meringankan beban masyarakat kampung Lubuk Merbau. Barangan dapur yang sangat murah memang sangat membantu rakyat di sini,” katanya.
Program Jualan Rahmah MADANI Bergerak merupakan anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Lubuk Merbau di Pedu.
Sementara itu, Timbalan Dekan Ghazali Shafie Graduate School of Government, Universiti Utara Malaysia (GSGSG UUM) merangkap Pengerusi JPKKP Kampung Lubuk Merbau, Prof. Madya Dr. Kamarul Azman Khamis berkata program berkenaan merupakan satu pendekatan terbaik dalam membantu rakyat khususnya di kawasan luar bandar.
Harga barangan yang ditawarkan yang jauh lebih rendah berbanding harga pasaran sekali gus menawarkan peluang kepada rakyat untuk mendapatkan barangan keperluan.
“Ini menunjukkan denyut nadi rakyat dan hubungan pemimpin dengan masyarakat, khususnya di kawasan pedalaman. Rata-rata penduduk merasakan perlunya bantuan seperti ini.
“Ekonomi pendapatan di kawasan ini berteraskan penoreh getah dan pesawah padi, jadi program Jualan Rahmah MADANI bergerak ini amat bertepatan. Terutama menjelang bulan puasa, ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban masyarakat luar bandar dan pedalaman, insya-Allah,” katanya.
Program Jualan RAHMAH MADANI Bergerak adalah inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk menyediakan barangan keperluan harian pada harga lebih rendah iaitu diskaun 10 hingga 30 peratus melalui lori-lori bergerak di lokasi terpilih.