Ekonomi Malaysia 2026 diunjur tumbuh 4.3%, OPR kekal – SME Bank

Pertumbuhan Malaysia tahun ini dijangka kekal berdaya tahan, dipacu kekuatan PMKS dalam menyokong permintaan domestik

KUALA LUMPUR, 15 Januari – Ekonomi Malaysia diunjur berkembang sebanyak 4.3 peratus tahun ini walaupun berdepan ketidaktentuan global yang semakin meningkat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ekonomi Malaysia diunjur berkembang 4.3% pada 2026, menunjukkan daya tahan menghadapi ketidaktentuan global.
  • PMKS dijangka terus memacu pertumbuhan domestik melalui sokongan permintaan, peluang pekerjaan dan produktiviti.
  • Belanjawan 2026 memperkukuh sokongan dengan pembiayaan dan penjaminan berjumlah RM50 bilion.
  • OPR dijangka kekal pada 2.75% tahun ini, manakala inflasi sederhana pada sekitar 1.7%.

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Samad Majid Zain berkata, prospek pertumbuhan Malaysia tahun 2026 kekal berdaya tahan, dipacu oleh kekuatan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam menyokong permintaan domestik, peluang pekerjaan dan produktiviti.

”Belanjawan Negara 2026 terus memperkukuh momentum ini melalui peruntukan pembiayaan dan kemudahan penjaminan berjumlah RM50 bilion.

Sementara itu, Laporan Unjuran Ekonomi Malaysia 2026 SME Bank menyatakan momentum pertumbuhan domestik dijangka kekal berdaya tahan, disokong aktiviti PMKS serta sokongan dasar yang berterusan.

”Faktor-faktor ini dijangka dapat mengurangkan impak faktor luaran yang berpunca daripada peningkatan perlindungan perdagangan dan ketegangan geopolitik
global.

”Secara keseluruhan, prospek pertumbuhan ini adalah sejajar dengan jangkaan Kementerian Kewangan Malaysia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia,” menurut bank itu.

SME Bank turut meramalkan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus sepanjang tahun ini, sekali gus menyediakan persekitaran monetari yang stabil bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

Inflasi pula dijangka meningkat secara sederhana kepada 1.7 peratus dan kekal pada paras yang terkawal.