
HULU SELANGOR, 14 Januari – Kerajaan menyasarkan nilai eksport nanas negara mencecah RM2 bilion menjelang tahun 2027, sejajar usaha berterusan memperkukuh pembangunan industri nanas yang kini dikenal pasti sebagai komoditi bernilai tinggi.
- Sasaran eksport nanas mencapai RM2 bilion menjelang 2027 berikutan usaha memperkukuh industri dan sokongan kerajaan.
- Industri nanas mampu menjana pendapatan sehingga RM9,000 sebulan setiap hektar melalui pengurusan ladang moden.
- Projek CPPC oleh Premium Pineapple tingkatkan rantaian nilai dengan 270 ekar dan 740,132 pokok nanas MD2.
- LPNM dan program kementerian beri bantuan benih, geran, bimbingan teknikal serta inisiatif komuniti dan belia.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata, industri nanas berpotensi besar menjana pendapatan pengusaha sehingga RM9,000 sebulan bagi setiap hektar melalui pengurusan ladang moden dan berdisiplin.
“Pada tahun lalu, nilai eksport nanas negara dianggarkan sekitar RM1.4 bilion. Dengan momentum semasa dan sokongan menyeluruh kerajaan, kita yakin sasaran RM2 bilion mampu dicapai dalam tempoh dua tahun akan datang.
“Setakat ini, nanas Malaysia berjaya menembusi pasaran antarabangsa termasuk Asia Barat, China dan Eropah, dengan jumlah eksport mencecah 76,000 tan metrik.
“Kerajaan giat meneroka pasaran baharu seperti New Zealand bagi memperluaskan capaian eksport,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Pusat Pengumpulan Nanas Sungai Gumut, Hulu Selangor hari ini.
Dalam majlis itu, beliau turut melakukan gimik pecah tanah pembinaan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) dan projek itu dijangka memperkukuh rantaian nilai industri nanas daripada peringkat ladang hingga ke pasaran.
Projek CPPC dibangunkan Premium Pineapple Sdn Bhd, yang mengusahakan kawasan keseluruhan seluas 270 ekar dengan tanaman semasa meliputi 16 hektar, melibatkan 740,132 pokok nanas MD2 dan kadar kelangsungan hidup tanaman melebihi 97 peratus.
Datuk Foong Hin berkata, Selangor mempunyai potensi besar untuk diketengahkan sebagai hab agromakanan moden, didorong kelebihan infrastruktur logistik termasuk lapangan terbang, pelabuhan dan rangkaian rel, serta sokongan berterusan Kerajaan Persekutuan dan negeri.
Bagi menyokong pembangunan industri, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) telah menyalurkan pelbagai bantuan termasuk bekalan benih dan input pertanian bernilai RM221,800, geran pembangunan sektor ladang sebanyak RM30,000, serta bimbingan teknikal kepada pengusaha.
Selain itu katanya, perancangan turut melibatkan program komuniti dan belia seperti Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dan Agropreneur NextGen di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi melahirkan lebih ramai usahawan tani muda.