Sultan Selangor arah tindakan tegas terhadap aktiviti LGBT di Selangor

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah / BERNAMA

SHAH ALAM, 12 Januari -Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan pihak berkuasa agama negeri mengambil tindakan tegas terhadap sebarang aktiviti tidak bermoral yang melibatkan budaya songsang di Selangor.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sultan Selangor mengarahkan tindakan tegas terhadap aktiviti yang mempromosikan gaya hidup LGBT di negeri ini.
  • MAIS dan Mufti menentang penganjuran program berkaitan LGBT dan gesa PDRM serta pihak berkuasa tempatan menghalangnya.
  • JAIS, PDRM dan pihak berkuasa diminta memantau dan memastikan titah Sultan dipatuhi demi kesucian Islam.

Titah berkenaan disampaikan kepada Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin dan Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir yang diperkenan menghadap Baginda di Istana Bukit Kayangan, hari ini.

Pertemuan itu antara lain membincangkan pendirian tegas Sultan Selangor terhadap penganjuran program Glamping With Pride yang dijadual berlangsung di Hulu Langat minggu hadapan.

Dalam kenyataan bersama, Datuk Salehuddin dan Datuk Dr Anhar memaklumkan, Baginda tidak berkenan dengan sebarang bentuk penganjuran festival, perarakan, sambutan atau promosi yang mengangkat gaya hidup songsang LGBT di mana-mana daerah di negeri ini.

Sultan Sharafuddin turut menzahirkan ketegasan bahawa sebarang penubuhan persatuan, kelab atau pertubuhan bukan kerajaan yang berkaitan LGBT juga tidak dibenarkan di Selangor.

Menurut kenyataan itu, selaras dengan titah Baginda, MAIS dan Mufti Selangor menyatakan bantahan terhadap sebarang aktiviti yang mempromosikan atau menormalisasikan gaya hidup songsang.

“Agama Islam telah mengharamkan amalan songsang LGBT yang menyerupai perbuatan kaum Nabi Lut a.s., yang dimurkai Allah SWT dan telah ditimpakan azab,” menurut kenyataan tersebut.

Sehubungan itu, MAIS dan Mufti Selangor menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pihak berkuasa tempatan supaya tidak mengeluarkan permit dan mengambil langkah menghalang penganjuran program terbabit serta aktiviti seumpamanya.

Pemantauan rapi juga diminta dilaksanakan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), PDRM dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan titah Sultan Selangor dipatuhi sepenuhnya.

Kenyataan itu turut menegaskan bahawa sebarang usaha mempromosikan gaya hidup songsang bercanggah dengan Maqasid Syariah, khususnya dalam aspek menjaga keturunan serta boleh mengancam akidah umat Islam.

MAIS dan Mufti Selangor turut menyeru semua pihak bekerjasama memelihara kesucian agama Islam demi memastikan Selangor kekal harmoni dan bebas daripada amalan yang bertentangan dengan ajaran Islam.