
KUALA TERENGGANU,11 Januari – Seorang penunggang motosikal maut dalam nahas jalan raya membabitkan sebuah motosikal dan kereta di Jalan Kepong, Kuala Terengganu, pagi tadi.
- Pelajar Tingkatan 3 maut selepas motosikalnya bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Kepong.
- Kemalangan menyebabkan motosikal mangsa terbakar dan mangsa cedera parah di tempat kejadian.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987; mayat dihantar ke hospital.
Siasatan awal mendapati penunggang motosikal yang juga pelajar Tingkatan 3 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin, Kuala Terengganu, yang datang dari arah Pengadang Baru, bertembung dengan sebuah kereta dari arah bertentangan yang dipercayai memasuki laluan motosikal itu.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, pertembungan itu menyebabkan motosikal mangsa terbakar.
“Mangsa maut di lokasi kejadian akibat cedera parah manakala pemandu kereta berusia 40 tahun, tidak mengalami kecederaan.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi RTM.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.