261 individu dikompaun buang sampah di tempat awam

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Khalid Mohamed

JASIN, 10 Januari – Seramai 261 individu dikenakan Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) kerana membuang sampah kecil di tempat awam bagi tempoh 1 Januari hingga semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • 261 individu dikenakan Notis Pemberitahuan Kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam dalam tempoh dilaporkan.
  • 186 pesalah warga tempatan manakala 75 adalah warga asing.
  • SWCorp mempertingkat penguatkuasaan terhadap pelancong dan sedia bekerjasama dengan pihak imigresen jika perlu.
  • Kes disiasat di bawah Akta 672, denda sehingga RM2,000 atau khidmat masyarakat sehingga 12 jam.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Khalid Mohamed berkata, daripada jumlah itu, 186 individu merupakan warga tempatan manakala 75 lagi warga asing.

Menurut beliau, 12 kertas siasatan telah dikemukakan kepada Pendakwa Raya, manakala 12 kes lagi didaftarkan di Mahkamah untuk tujuan perbicaraan.

Di Melaka pula, sehingga semalam, 20 individu telah dikenakan NPK, melibatkan 14 warga tempatan dan selebihnya warga asing.

Dalam pada itu, Khalid memaklumkan SWCorp sedang menambah baik proses penguatkuasaan, khususnya melibatkan pelancong asing, bagi memastikan tindakan susulan dapat diambil walaupun individu terbabit telah meninggalkan negara ini.

“Kami sedang menambah baik proses ini supaya pelancong tidak terlepas daripada tindakan. Ada pelancong yang telah pulang ke negara asal, namun kami mempunyai maklumat perhubungan dan mereka bersedia untuk hadir semula.

“Sekiranya terdapat pelancong yang ingkar, nama mereka akan disenaraikan dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya pada masa hadapan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Sambutan Hari Habitat Sedunia dan Hari Konservasi Hutan Simpan Paya Laut Edisi Eksekutif Negeri Melaka di Hutan Simpan Paya Laut, Jeti Nelayan Pantai Sebatu.

Tambahnya, individu terlibat disiasat mengikut Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) yang memperuntukkan denda maksimum RM2,000 serta hukuman khidmat masyarakat sehingga 12 jam bagi kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam.