TANGKAK, 23 November – Terperdaya dengan sindiket penipuan kiriman bungkusan tidak wujud, wanita 59 tahun mengalami kerugian RM72,175.
- Wanita 59 tahun ditipu sindiket 'parcel scam' kononnya hadiah mengandungi USD195,000.
- Mangsa berkenalan dengan penipu melalui Facebook sebelum menerima tawaran palsu.
- Beliau membuat 12 transaksi pembayaran berjumlah RM72,175 menggunakan wang simpanan.
- Mangsa sedar penipuan selepas berbincang dengan keluarga dan kemudian membuat laporan polis.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas dakwaan penipuan.
Ketua Polis Daerah Tangkak Supt Roslan Mohd Talib berkata, mangsa seorang operator kilang, mula terperdaya selepas ditawarkan bungkusan hadiah kononnya mengandungi wang USD195,000 daripada seorang individu yang dikenalinya menerusi Facebook.
“Mangsa yang berminat dengan tawaran itu kemudiannya melakukan 12 transaksi pembayaran ke satu akaun bank berjumlah RM72,175 menggunakan wang simpanannya pada Jumaat dan semalam.
“Bagaimanapun, mangsa menyedari telah ditipu apabila merujuk hal berkenaan kepada keluarganya,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata wanita itu membuat laporan polis semalam dan kes sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.